[LAPOR LANGSUNG] 9 rakyat Malaysia ditahan rejim Israel
DUNIA

Erdogan tekankan kepentingan Gaza kekal milik rakyat Palestin dan ditadbir oleh mereka sendiri

Bernama 08/10/2025 | 15:30 MYT
Erdogan menegaskan bahawa aspek keselamatan di Gaza serta pembentukan pasukan penstabilan boleh dipertimbangkan. - Gambar Reuters
ANKARA: Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan menegaskan bahawa amat penting untuk Gaza kekal sebagai tanah milik rakyat Palestin dan ditadbir oleh mereka sendiri.

Bercakap kepada wartawan dalam perjalanan pulang dari Azerbaijan selepas menghadiri Sidang Kemuncak Pertubuhan Negara-Negara "Turkic", Erdogan berkata semasa lawatannya ke Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini dan dalam panggilan telefon dengan Presiden Donald Trump, beliau menjelaskan cara penyelesaian boleh dicapai di Palestin.

"Ketika pelan genjatan senjata Gaza oleh Presiden AS, Trump secara khusus meminta kami berunding dengan Hamas dan memujuk mereka, dan kami segera menghubungi pihak berkaitan berhubung perkara ini.

Hamas memaklumkan kepada kami dalam maklum balasnya bahawa mereka bersedia untuk keamanan dan rundingan. Pada pandangan saya, ini adalah langkah yang amat berharga," katanya dalam temu bual bersama Anadolu Ajansi (AA).

Mengulas mengenai Flotila Sumud Global yang diserang rejim Zionis minggu lepas, Erdogan berkata Turkiye memantau rapi perkembangan misi itu menggunakan kenderaan udara tanpa pemandu dan kapal.

Presiden itu berkata beliau sendiri memantau pergerakan misi bantuan berkenaan menerusi rakaman dron Akinci.

Erdogan menegaskan bahawa aspek keselamatan di Gaza serta pembentukan pasukan penstabilan boleh dipertimbangkan, sambil menyatakan beliau memberi perhatian besar terhadap rundingan genjatan senjata yang sedang berlangsung di Sharm el-Sheikh, Mesir.

Menyentuh mengenai Syria, Erdogan berkata Pasukan Demokratik Syria (SDF) perlu menunaikan janji mereka untuk melengkapkan proses integrasi dengan Syria.

"Perikatan Turkiye-Kurdish-Arab adalah kunci kepada keamanan dan kestabilan yang berkekalan di rantau ini," katanya.

-- BERNAMA


#Donald Trump #rejim Zionis #proses integrasi #rakaman dron