DUNIA

Erich von Daeniken, penulis teori ‘makhluk asing kuno’ meninggal dunia pada usia 90 tahun

Agensi 11/01/2026 | 23:20 MYT
Erich von Daeniken meninggal dunia pada Sabtu lalu. Mendiang berusia 90 tahun.
ZURICH: Penulis terkenal Switzerland, Erich von Daeniken, yang mencetuskan fenomena global dengan teori kontroversi bahawa kemajuan manusia dipengaruhi oleh campur tangan makhluk asing, meninggal dunia pada Sabtu lalu.

Mendiang berusia 90 tahun

Von Daeniken meraih populariti melalui bukunya “Chariots of the Gods?” yang diterbitkan pada 1968, dengan hujah bahawa makhluk asing pernah berulang kali mengunjungi Bumi dan meninggalkan kesan melalui binaan purba seperti runtuhan Inca, piramid Mesir, lukisan gua dan monumen lain.

Buku itu terjual jutaan naskhah dan diterjemah ke lebih 30 bahasa, menjadikannya antara karya paling laris dalam genre tersebut.

Walaupun sarjana dan ahli arkeologi menolak teorinya sebagai pseudosains, Von Daeniken terus menghasilkan lebih 40 buku, selain muncul dalam rancangan televisyen dan dokumentari.

Secara keseluruhan, beliau menjual lebih 70 juta naskhah buku.

Media Jerman, Der Spiegel pernah menyiarkan laporan muka depan bertajuk “The Daeniken Hoax” pada 1973, manakala ahli astronomi terkenal Carl Sagan mengkritik beliau kerana gagal mengemukakan bukti kukuh bagi dakwaan luar biasa.

Namun, kritikan tidak mematahkan semangatnya.

“Setiap teori berani pernah dianggap utopia. Berapa banyak utopia kini menjadi realiti?” tulisnya.

Dari pengurus hotel ke penulis sensasi

Sebelum terkenal, Von Daeniken bekerja sebagai pengurus hotel di timur Switzerland, malah pernah dipenjara 18 bulan atas kesalahan penipuan.

Selepas keluar penjara, bukunya melonjakkan namanya sebagai penulis sensasi.

Pada 2003, beliau membuka taman tema “Mysteries of the World” di Interlaken, namun ditutup selepas tiga tahun.

Ramalan ‘kejutan makhluk asing’ dan harapan baharu

Dalam tulisan di laman webnya, Von Daeniken mendakwa, bukti kuno menunjukkan “para dewa” berjanji akan kembali, yang menurutnya bakal mencetuskan “kejutan besar” dalam agama dan sains.

Beliau turut menyambut baik laporan UFO oleh kerajaan AS pada 2021 yang tidak menolak kemungkinan asal-usul makhluk asing.

“Selepas ini, sesiapa yang bercakap tentang UFO tidak boleh lagi ditertawakan.

"Saya percaya makhluk asing akan datang kepada kita dalam tempoh 10 tahun,” katanya kepada akhbar Neue Zurcher Zeitung. - Agensi



#Erich von Daeniken #penulis Switzerland #teori makhluk asing #meninggal dunia #Chariots of the Gods