Harga RON95 Turun kepada RM1.99 Bermula 30 September – PM Anwar
DUNIA

Erika Kirk maafkan pembunuh suami

Agensi 21/09/2025 | 22:50 MYT
Erika menyeka air matanya semasa berucap pada acara penghormatan terakhir ke atas mendiang suaminyam Charlie Kirk di Arizona, Amerika Syarikat, pada Ahad. - Gambar Reuters
ARIZONA: Erika Kirk mengejutkan ribuan hadirin apabila mengumumkan beliau memaafkan lelaki yang dituduh menembak mati suaminya pada majlis memperingati mendiang suaminya, Charlie Kirk di sini, pada Ahad.

“Saya maafkan dia,” katanya, sebelum penonton bangkit memberikan tepukan gemuruh.

Beliau menegaskan, “Jawapan kepada kebencian bukanlah kebencian,” sambil menyatakan suaminya berjuang menyelamatkan anak muda daripada hidup yang dikuasai dendam dan kemarahan – termasuk mereka yang seperti suspek yang meragut nyawanya.

Erika bercerita tentang bagaimana Charlie memperjuangkan ajaran Tuhan mengenai perkahwinan, sambil menyifatkan keluarganya sebagai anugerah paling indah.

“Perkahwinan saya bersama Charlie adalah perkara terbaik yang pernah berlaku dalam hidup saya,” katanya.

Erika kemudian menyentuh mengenai peranan sebagai seorang ibu, sebelum berpesan kepada golongan ibu yang hadir bahawa ia merupakan “tanggungjawab terpenting yang mereka miliki.”

Mendiang Charlie yang juga aktivis politik konservatif Amerika Syarikat (AS) serta sekutu Presiden Donald Trump meninggal dunia selepas ditembak ketika menghadiri sebuah acara di Utah, pada 10 September lalu.

Kirk, 30-an, merupakan Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas bersama organisasi belia konservatif Turning Point USA.

Turning Point USA yang ditubuhkan Kirk pada 2012 di Chicago dikenali sebagai platform politik yang memberi tumpuan kepada belia, khususnya di kampus universiti, bagi mengangkat agenda konservatif termasuk cukai rendah dan kerajaan kecil.

Kirk berjaya membina pengaruh besar dalam kalangan anak muda Republikan melalui gaya retorik lantang dan sering tampil dalam program televisyen arus perdana di Amerika.

Malah, beliau juga rapat dengan keluarga Trump dan sering mendapat tempat dalam acara parti Republikan. - Agensi


#Charlie Kirk #Charlie Kirk maut ditembak #sekutu Trump #isteri Charlie Kirk