DUNIA
Eropah ada pengaruh dalam perbincangan AS-Iran - Menteri Luar Jerman
Wadephul berkata Eropah boleh mengaktifkan sekatan terhadap Tehran menggunakan mekanisme "snapback", di bawah perjanjian nuklear 2015. - Gambar/ Reuters
BERLIN: Menteri Luar Jerman Johann Wadephul berkata beliau percaya Eropah berada dalam kedudukan kukuh untuk rundingan berpotensi dengan Iran mengenai program nuklear negara itu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Ringkasan AI
- Menteri Luar Jerman Johann Wadephul menyatakan Eropah berada dalam kedudukan kukuh untuk rundingan nuklear dengan Iran, termasuk kemungkinan mengaktifkan semula sekatan PBB melalui mekanisme "snapback" jika Iran gagal mematuhi perjanjian 2015.
- Perjanjian nuklear Iran yang ditandatangani oleh UK, Perancis dan Jerman akan tamat pada Oktober ini, namun negara-negara Eropah masih boleh menggunakan pengaruh mereka untuk menekan Iran secara diplomatik.
- Iran memberi amaran bahawa pengaktifan mekanisme "snapback" akan menjadi kesilapan strategik besar dan menamatkan peranan Eropah dalam rundingan nuklear secara kekal.
"Kita mempunyai kelebihan yang baik," kata Wadephul dalam satu rancangan bual bicara di penyiar awam ZDF pada Khamis malam.
Beliau berkata Eropah boleh mengaktifkan sekatan terhadap Tehran menggunakan mekanisme "snapback", di bawah perjanjian nuklear 2015 - yang mana Presiden AS Donald Trump menarik diri pada 2018 - boleh diaktifkan sekiranya terdapat "kegagalan ketara" oleh Iran.
United Kingdom, Perancis dan Jerman - yang dikenali sebagai negara E3 - telah menandatangani perjanjian nuklear Iran 10 tahun lepas, yang secara rasmi akan tamat pada Oktober ini, walaupun tidak lagi dilaksanakan sepenuhnya.
"Kami mempunyai kelebihan sebenar. Washington sedar akan perkara ini, dan kita akan menggunakannya secara bersepadu," katanya sambil menambah bahawa matlamat kekal untuk mencapai penyelesaian melalui rundingan.
Sehingga Oktober, negara Eropah yang menandatangani perjanjian itu masih berpeluang untuk mengembalikan sekatan ketat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap Iran melalui mekanisme "snapback" tanpa halangan besar.
Ini memberi kerajaan-kerajaan di Eropah alat pengaruh penting, walaupun mereka tidak berada secara langsung di meja rundingan dengan Iran mengenai program nuklearnya.
Wadephul menegaskan bahawa beliau sedang berhubung dengan Amerika Syarikat serta rakan sejawatnya dari Iran. Tiga negara Eropah itu adalah "pihak yang berbincang dengan Iran" dan menjalin hubungan dengan mereka.
Pada Khamis, Menteri Luar Iran Abbas Araghchi berkata semasa pertemuan minggu lepas antara Iran dan menteri luar E3 di Geneva, "satu daripada isu utama" ialah kemungkinan pengaktifan mekanisme "snapback" bagi sekatan terhadap negaranya oleh Majlis Keselamatan PBB.
Dalam pertemuan itu, beliau menjelaskan bahawa "penggunaan mekanisme ini akan menjadi kesilapan strategik terbesar, yang akan menamatkan peranan Eropah dalam rundingan nuklear secara kekal."
-- BERNAMA