DUNIA

Eropah catat lebih 62,700 kematian berkaitan haba pada musim panas 2024 - Kajian

Bernama 23/09/2025 | 03:40 MYT
Gelombang haba musim panas 2024 mengakibatkan lebih 62,700 kematian di Eropah, peningkatan hampir 25 peratus berbanding 2023. - Gambar hiasan
MADRID: Gelombang haba musim panas 2024 mengakibatkan lebih 62,700 kematian di Eropah, peningkatan hampir 25 peratus berbanding 2023, menurut kajian Institut Kesihatan Global Barcelona (ISGlobal) yang diterbitkan pada Isnin dalam jurnal Nature Medicine, lapor agensi berita Jerman dpa.

"Terdapat lebih 181,000 kematian berkaitan haba di Eropah" sepanjang musim panas dari 2022 hingga 2024, kata penulis utama kajian itu, Joan Ballester Claramunt.

Seperti pada 2022 dan 2023, Itali sekali lagi menjadi negara paling terjejas tahun lalu, dengan anggaran 19,000 kematian berkaitan haba antara 1 Jun dan 30 Sept 2024.

Sepanyol di tempat kedua dengan lebih 6,700 kematian, diikuti Jerman yang mencatat sekitar 6,300 kes kematian.

Greece dengan hampir 6,000 kematian dan Romania lebih 4,900, masing-masing di tempat keempat dan kelima.

Kedudukan berubah apabila jumlah kematian diambil kira mengikut saiz populasi.

Menurut kajian itu, Greece berada di tempat pertama dengan 574 kematian bagi setiap sejuta penduduk, diikuti Bulgaria dengan 530 dan Serbia 379.

Di 15 daripada 32 negara yang diteliti, musim panas 2024 merupakan yang paling dahsyat dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Di beberapa negara seperti Jerman, Sepanyol dan Perancis, musim panas 2022 lebih buruk.

Secara keseluruhan, para penyelidik menyatakan Eropah mencatat lebih banyak kematian berkaitan haba pada 2022 berbanding 2024, dengan golongan warga emas dikenal pasti paling berisiko.

-- BERNAMA




#eropah #gelombang haba #Institut Kesihatan Global Barcelona #kematian berkaitan haba