DUNIA
Eropah hantar tentera ketika Trump berkeras mahu kuasai Greenland
Sebuah pesawat Tentera Udara Diraja Denmark membawa anggota tentera mendarat di Lapangan Terbang Nuuk, Greenland, pada Rabu. - Gambar Reuters
NUUK, GREENLAND: Sepasukan anggota tentera Perancis tiba di Nuuk, ibu kota Greenland, menurut pegawai, ketika beberapa negara Eropah lain turut menghantar bilangan kecil anggota dalam apa yang digelar sebagai misi tinjauan.
Penugasan terhad itu yang turut melibatkan Jerman, Sweden, Norway, Finland, Belanda dan United Kingdom (UK) berlaku ketika Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, terus mendesak tuntutannya terhadap pulau Artik itu, yang merupakan wilayah separa autonomi di bawah Denmark.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron memaklumkan, pasukan awal itu akan ditambah dengan aset darat, udara dan laut dalam masa terdekat.
Semenara diplomat kanan, Olivier Poivre d'Arvor menyifatkan penyertaan itu sebagai isyarat politik yang jelas kepada Amerika Syarikat bahawa Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) tetap mempunyai kehadiran di kawasan tersebut.
Beliau menjelaskan, Perancis memulakan operasi itu dengan 15 anggota, ketika Menteri Luar Denmark dan Greenland berada di Washington untuk bertemu Naib Presiden AS, JD Vance pada Rabu.
Selepas pertemuan itu, Menteri Luar Denmark, Lars Lokke Rasmussen berkata, perbincangan berlangsung secara konstruktif namun masih wujud “perbezaan asas” antara kedua-dua negara, sambil mengulangi penolakannya terhadap hasrat Trump untuk membeli Greenland.
Trump, dalam kenyataannya di White House sekali lagi menegaskan, Amerika Syarikat “memerlukan Greenland demi keselamatan negara.”
Walaupun tidak menolak sepenuhnya kemungkinan penggunaan kekerasan, beliau percaya penyelesaian dengan Denmark masih boleh dicapai.
Menurut Trump, Denmark berdepan ancaman jika Rusia atau China cuba menguasai Greenland, namun AS mempunyai keupayaan untuk bertindak. “Anda lihat apa yang berlaku minggu lalu dengan Venezuela,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Akhbar White House, Karoline Leavitt berkata, penempatan anggota Eropah tambahan di Greenland tidak akan menjejaskan keputusan Presiden mengenai wilayah itu, dan ia “tidak menjejaskan sama sekali matlamat untuk memperoleh Greenland.”
Di Warsaw, Perdana Menteri Poland, Donald Tusk menegaskan, negaranya tidak merancang menyertai operasi ketenteraan itu, tetapi memberi amaran bahawa sebarang tindakan ketenteraan AS ke atas Greenland “akan menjadi bencana politik”, terutama kerana ia membabitkan wilayah anggota NATO.
Rusia melalui kedutaannya di Belgium pula menyuarakan kebimbangan serius terhadap perkembangan tersebut, menuduh NATO memperbesarkan kehadiran ketenteraan di Artik atas alasan ancaman dari Moscow dan Beijing.
Walaupun begitu, penyertaan NATO setakat ini hanya melibatkan beberapa anggota dalam latihan bersama yang diketuai Denmark, dikenali sebagai Operation Arctic Endurance.
Tempoh sebenar kehadiran mereka masih belum diputuskan.
Finland menghantar dua pegawai perhubungan ketenteraan dalam fasa awal misi itu, sambil menegaskan tujuan utama adalah menilai rancangan operasi dan memahami tahap keselamatan di Greenland yang semakin menjadi perhatian NATO.
Jerman pula menghantar sebuah pesawat pengangkut A400M dengan 13 anggota tentera ke Nuuk, namun mereka dijangka berada di sana sehingga Sabtu sahaja.
Pihak berkuasa Denmark memaklumkan bahawa kerajaan negara itu dan kerajaan Greenland bersetuju meningkatkan kehadiran tentera di perairan sekitar Greenland bagi mengukuhkan keselamatan Eropah dan trans-Atlantik.
Dalam amanat tahun baharunya kepada angkatan tentera, Macron berkata, Eropah mempunyai tanggungjawab khas terhadap Greenland kerana wilayah itu sebahagiannya berada dalam Kesatuan Eropah, selain menjadi sebahagian daripada rangkaian keselamatan NATO.
Amerika Syarikat ketika ini mempunyai pangkalan ketenteraan di Greenland dengan sehingga 150 anggota, dan berhak menambah jumlah itu berdasarkan perjanjian sedia ada dengan Denmark.
Namun kehadiran tentera Eropah dilihat sebagai isyarat bahawa sekutu-sekutu Eropah turut berkepentingan dalam keselamatan Artik.
Pada Rabu, Sweden turut menghantar pegawai tenteranya ke Nuuk.
Turut menyertai misi itu ialah dua tentera Norway, seorang pegawai tentera Britain dan seorang pegawai tentera laut Belanda.
Downing Street dalam kenyataan berkata, UK berkongsi kebimbangan Trump mengenai keselamatan kawasan Artik, dan langkah menghantar pegawai ketenteraan adalah sebahagian usaha memperkukuh latihan bagi mengekang pencerobohan Rusia serta aktiviti China.
Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen menegaskan, perlindungan Greenland adalah kepentingan bersama seluruh NATO.
Menteri Pertahanan Denmark, Troels Lund Poulsen berkata, sasaran jangka panjang ialah mewujudkan kehadiran ketenteraan secara bergilir, dengan penyertaan rakan sekutu bagi latihan dan operasi.
Copenhagen bagaimanapun menolak alasan Trump bahawa Greenland berada dalam ancaman segera daripada China atau Rusia, tetapi mengakui terdapat elemen kebimbangan keselamatan yang dikongsi bersama Washington.
Satu delegasi Amerika Syarikat yang diketuai Demokrat dijadual mengadakan pertemuan dengan ahli parlimen Denmark pada Jumaat.
Greenland, melalui Perdana Menterinya, Jens-Frederik Nielsen menegaskan rakyatnya kini berdepan krisis geopolitik, namun, sekiranya terpaksa memilih, mereka tetap memilih Denmark berbanding Amerika Syarikat.
“Greenland tidak mahu dimiliki Amerika Syarikat. Greenland tidak mahu ditadbir Amerika Syarikat. Greenland tidak mahu menjadi sebahagian daripada Amerika Syarikat,” katanya. - Agensi