Skip to main content

Dunia

Estonia bantah larangan media sosial untuk kanak-kanak

A girl checks social media posts on her phone in Athens, Greece, April 1, 2026. REUTERS/Louisa Gouliamaki/File Photo
Estonia menggesa Kesatuan Eropah (EU) supaya tidak mengharamkan penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak, sebaliknya, menuntut platform digital mengambil langkah lebih tegas untuk melindungi pengguna muda. - Gambar hiasan/ Reuters
Advertisement

BRUSSELS: Estonia menggesa Kesatuan Eropah (EU) supaya tidak mengharamkan penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak, sebaliknya, menuntut platform digital mengambil langkah lebih tegas untuk melindungi pengguna muda.

Kenyataan itu disuarakan Menteri Kehakiman dan Hal Ehwal Digital Estonia, Liisa-Ly Pakosta ketika EU dijangka mengumumkan had umur minimum bagi penggunaan media sosial pada 16 September ini.

Menurut Pakosta, kanak-kanak merupakan sebahagian daripada masyarakat digital dan oleh itu tanggungjawab utama untuk memastikan keselamatan mereka terletak kepada pengendali platform media sosial, bukannya dengan menyekat akses pengguna bawah umur.

“Kanak-kanak adalah anggota masyarakat maklumat. Justeru, platform itu sendiri yang perlu berubah,” katanya dalam temu bual video bersama agensi berita antarabangsa, AFP pada Isnin.

Estonia menjadi satu-satunya negara anggota EU yang secara terbuka menentang cadangan menyekat akses kanak-kanak kepada media sosial, sebaliknya menggesa perubahan dilakukan terhadap reka bentuk dan fungsi platform dalam talian.

Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen dijangka mengumumkan langkah berkaitan media sosial minggu depan, dengan pegawai EU memaklumkan had umur 13 atau 15 tahun sedang dipertimbangkan.

Pakosta menegaskan kepentingan meletakkan hak dan kepentingan terbaik kanak-kanak sebagai asas kepada pembangunan platform digital.

“Kepentingan dan hak kanak-kanak mesti menjadi panduan dalam reka bentuk platform. Pendekatan itu bukan sahaja baik untuk golongan muda, malah memberi manfaat kepada seluruh masyarakat,” katanya.

Beliau turut merujuk kepada Akta Perkhidmatan Digital (Digital Services Act, DSA), undang-undang kandungan dalam talian EU yang boleh digunakan untuk memaksa syarikat teknologi melaksanakan perubahan lebih berkesan.

Menurut beliau, garis panduan yang dikeluarkan EU di bawah DSA bagi melindungi kanak-kanak di internet sepatutnya dijadikan kewajipan undang-undang dan bukan sekadar cadangan.

Setakat ini, EU telah menggunakan DSA untuk menyiasat beberapa platform utama termasuk Facebook dan Instagram milik Meta serta TikTok berhubung kebimbangan terhadap ciri reka bentuk yang disifatkan boleh mewujudkan ketagihan dalam kalangan pengguna.

EU juga telah menggesa platform berkenaan mengubah elemen yang dianggap mendorong penggunaan berlebihan, khususnya dalam kalangan remaja dan kanak-kanak.

Must Watch Video

Advertisement