Skip to main content

Dunia

Estonia kenakan larangan transit ke atas bijirin Rusia

Margus Tsahkna, Menteri Luar Estonia. REUTERS
Margus Tsahkna, Menteri Luar Estonia. REUTERS

Advertisement

RIGA: Kerajaan Estonia memutuskan untuk mengenakan larangan terhadap transit bijirin dari Rusia dan Belarus melalui negara anggota Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di rantau Baltik itu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

"Rusia menyerang pelabuhan Ukraine dan menghalang bijirin Ukraine daripada memasuki pasaran dunia. Adalah tidak wajar untuk membenarkan Rusia mengeksport bijirinnya sendiri melalui pelabuhan kami pada masa yang sama," kata Menteri Luar Margus Tsahkna pada Khamis.

Estonia tidak akan membenarkan perkara ini dan justeru mengenakan sekatan di peringkat nasional, katanya.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa larangan itu bertujuan memastikan Estonia tidak menjadi laluan transit baharu bagi bijirin Rusia.

Walaupun hampir tiada transit melalui negara Baltik itu setakat ini, Rusia sedang mencari laluan eksport baharu dan berminat menggunakan pelabuhan Estonia. "Kami tidak akan membantu Rusia mengurangkan kesan perang yang dimulakannya sendiri," kata Tsahkna.

Tsahkna turut menyatakan bahawa Estonia bekerjasama rapat dengan Latvia dan Lithuania berhubung isu berkenaan sambil menambah bahawa Negara-Negara Baltik "tidak boleh membiarkan pelabuhan mereka disalahgunakan untuk menyokong ekonomi perang Rusia".

Menurut laporan media, transit bijirin Rusia terutamanya menerusi Latvia meningkat secara mendadak baru-baru ini. Kerajaan di Riga merancang untuk mengekang perkara itu melalui pelbagai langkah, seperti tarif yang lebih tinggi, walaupun ia belum dikuatkuasakan.

Latvia juga, seperti Lithuania, memutuskan untuk melaksanakan pemeriksaan yang lebih ketat terhadap penghantaran bijirin.

-- BERNAMA-dpa

 

 

Must Watch Video

Advertisement