KESATUAN Eropah (EU) memulakan tindakan perundangan terhadap pengeluar vaksin AstraZeneca.

Ia susulan kegagalan AstraZeneca memenuhi kontraknya kepada blok itu

Jurucakap Suruhanjaya Eropah Stefan De Keersmaecker menegaskan, tindakan undang-undang diambil kerana AstraZeneca mencabuli perjanjian pembelian.

"Suruhanjaya telah memulakan tindakan undang-undang terhadap syarikat AstraZeneca pada Jumaat atas dasar pelanggaran perjanjian pembelian awal.

"Alasannya ialah, syarat kontrak atau beberapa syarat kontrak telah tidak dipatuhi.

"Dan, syarikat ini belum membuat strategi yang boleh diharap bagi memastikan pemberian dos berajalan tepat pada masanya.

"Yang penting bagi kami dalam hal ini, kami ingin pastikan sejumlah dos yang mencukupi dapat dibekalkan sepertimana yang berhak diterima warga Eropah, dan yang telah dijanjikan berdasarkan kontrak," katanya di Brussels pada Isnin. 

Berdasarkan kontrak tersebut, EU membeli 300 juta dos vaksin untuk edaran kalangan negara anggotanya, dengan pilihan tambahan 100 juta dos.

Namun, setakat ini, AstraZeneca hanya berjaya membekalkan 30 juta dos kepada EU.

Ia juga berjanji melangsaikan baki 70 juta dos vaksin dalam suku kedua tahun ini, berbanding 180 juta seperti yang dipersetujui.