ISTANBUL: Kesatuan Eropah (EU) pada Isnin menjadi tuan rumah Mesyuarat Perikatan Global di Brussels mengenai pelaksanaan penyelesaian dua negara, dengan menghimpunkan rakan antarabangsa dan serantau, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Perikatan Global kembali ke Brussels,” kata Ketua Dasar Luar EU Kaja Kallas dalam ucapan pembukaannya.
Advertisement
Kallas berkata inisiatif itu bertujuan memperkukuh usaha bersama untuk memajukan penyelesaian dua negara berasaskan undang-undang antarabangsa.
Beliau mengalu-alukan penyertaan Perdana Menteri Palestin Mohammad Mustafa, Perdana Menteri Norway Jonas Gahr Store serta Menteri Luar Arab Saudi Putera Faisal bin Farhan Al Saud.
Kallas turut menghargai kehadiran wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan bekas pegawai, termasuk Nikolai Mladenov, Ramiz Alakbarov, serta Pemangku Pesuruhjaya Agung Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) Christian Saunders.
Beliau berkata perbincangan memberi tumpuan kepada pengukuhan kerjasama dalam penyelesaian dua negara, dengan Deklarasi New York sebagai rangka kerja panduan.
Kallas menegaskan keperluan untuk memastikan pematuhan terhadap undang-undang antarabangsa, hak asasi manusia dan kebertanggungjawaban, serta melindungi rakyat Palestin.
Penyelesaian dua negara kekal sebagai “satu-satunya cara bagi rakyat Palestin dan Israel hidup dalam aman, bermaruah dan selamat,” katanya.
Beliau turut mengutuk tindakan unilateral, termasuk peluasan penempatan haram, yang menurutnya menjejaskan penyelesaian dua negara, serta menggesa Israel agar menarik balik langkah itu.
Kallas juga menggesa agar hasil kutipan yang ditahan dilepaskan bagi memastikan kelangsungan operasi Pihak Berkuasa Palestin.
Katanya, EU kekal sebagai penyumbang bantuan luar terbesar kepada Pihak Berkuasa Palestin.
-- BERNAMA-ANADOLU