BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) sedang membincangkan pelepasan stok strategik diesel dalam usaha menurunkan harga tenaga global, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Langkah itu menyusul selepas pentadbiran Amerika Syarikat (AS) di bawah Presiden Donald Trump menyatakan ia sedang mempertimbangkan larangan eksport diesel bagi meningkatkan tekanan terhadap blok berkenaan.
"Rundingan sedang berjalan, panggilan telefon (sedang) dilakukan," kata seorang jurucakap wanita Suruhanjaya Eropah pada Jumaat, ketika EU menyelaraskan pendiriannya berhubung potensi pelepasan stok berkenaan.
Bagaimanapun, keputusan muktamad perlu dibuat oleh Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), tegas beliau.
Lonjakan harga diesel dan petrol mendorong Presiden AS Donald Trump mempertimbangkan untuk menghentikan eksport diesel ke EU.
Setiausaha Perbendaharaan AS Scott Bessent pada Khamis berkata Eropah sepatutnya "menjadikan bekalan tambahan tersedia serta-merta" bagi menurunkan harga.
"Kami menolak sepenuhnya sebarang larangan ke atas diesel. Larangan tidak akan memberi manfaat kepada sesiapa," kata jurucakap wanita suruhanjaya itu.
Pasukan pakar awal minggu ini merumuskan bahawa "tiada isu keselamatan bekalan serta-merta di EU," katanya, sebaliknya EU sedang berdepan "krisis kemampuan."
Pemimpin Kumpulan G7 bagi negara ekonomi terkemuka, yang turut merangkumi AS, dijadualkan membincangkan situasi tenaga global menerusi sidang video, menurut pengumuman pejabat Presiden Perancis.
Presiden Perancis Emmanuel Macron mengadakan perbincangan menerusi telefon dengan Trump mengenai isu berkenaan semalaman.
Harga diesel melonjak dua kali ganda di Eropah sejak bermulanya konflik Iran pada akhir Februari manakala harga gas meningkat sebanyak 140 peratus, menurut suruhanjaya itu.
-- BERNAMA-dpa