[TERKINI] Polis Tahan Pengasas eHati dan Suami Susulan Dakwaan Program Motivasi Rumah Tangga Songsang – Ikuti Perkembangan Di Sini
INTERNATIONAL

EU dijangka gagal capai sasaran iklim 2030 sebanyak 1 peratus

Bernama 28/05/2025 | 21:00 MYT
Meskipun negara anggota EU telah meningkatkan komitmen mereka terhadap sasaran pengurangan gas rumah hijau sebanyak 55 peratus menjelang 2030, Suruhanjaya Eropah berkata, jurang masih wujud dalam beberapa sektor utama. - Gambar hiasan/REUTERS
BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) dijangka gagal mencapai sasaran pengurangan gas rumah hijau sebanyak 55 peratus menjelang 2030 yang diwajibkan di bawah undang-undang, dengan kekurangan sekitar satu mata peratusan, menurut Suruhanjaya Eropah pada Rabu, lapor Xinhua.

Dalam penilaian terhadap Pelan Tenaga dan Iklim Kebangsaan (NECP) akhir yang dikemukakan oleh negara anggota, Suruhanjaya mendapati bahawa langkah sedia ada dan yang dirancang hanya akan mengurangkan pelepasan bersih EU sekitar 54 peratus berbanding paras tahun 1990 menjelang 2030 -- kurang satu peratus daripada sasaran 55 peratus yang ditetapkan dalam Undang-undang Iklim Eropah.

Di bawah undang-undang tersebut, blok itu berhasrat untuk mencapai neutral iklim menjelang 2050, dengan sasaran jangka sederhana mengurangkan sekurang-kurangnya 55 peratus pelepasan menjelang 2030.

Meskipun negara anggota telah meningkatkan komitmen mereka, suruhanjaya itu berkata jurang masih wujud dalam beberapa sektor utama.

Laporan itu menyatakan bahawa sumbangan tenaga boleh baharu dan kecekapan tenaga kini hampir menyamai sasaran EU masing-masing sebanyak 42.5 peratus dan 11.7 peratus menjelang 2030, namun ketidakseimbangan antara sektor masih berlaku.

Bagi sektor di bawah Peraturan Perkongsian Usaha, termasuk pengangkutan, bangunan dan pertanian, pengurangan pelepasan dijangka mencecah 38 peratus berbanding tahap pada 2005, masih kurang daripada sasaran 40 peratus.

Penilaian itu turut menyorot kekurangan antara 45 hingga 60 juta tan dalam kapasiti penyerap karbon bagi penggunaan tanah, perubahan guna tanah dan sektor perhutanan. Di bawah peraturan EU, sektor ini perlu menyumbang penyingkiran bersih tambahan sebanyak 42 juta tan karbon dioksida setara menjelang 2030 berbanding purata 2016-2018, menjadikan jurang semasa bersamaan 100 hingga 140 peratus daripada sasaran tersebut.

Lima daripada 23 pelan kebangsaan masih gagal memenuhi tanggungjawab perkongsian usaha, dan hanya sembilan kerajaan menjangka dapat memenuhi sasaran penggunaan tanah, menurut laporan itu. Suruhanjaya menggesa negara anggota memanfaatkan dana pertanian dan fleksibiliti bantuan kerajaan untuk meningkatkan kapasiti penyerap karbon.

Suruhanjaya turut meminta Belgium, Estonia dan Poland mengemukakan NECP akhir mereka yang tertunggak dengan segera, dan menekankan bahawa "penetapan sasaran iklim 2040 yang jelas kini penting untuk mengemudi tindakan dan pelaburan selepas 2030."

-- BERNAMA


#EU #gas rumah hijau #sasaran iklim 2030 #pelepasan