DUNIA

EU kecam pelanggaran gencatan senjata berulang kali oleh Israel di Gaza

Bernama 02/02/2026 | 06:30 MYT
EU mengecam tindakan Israel yang terus melakukan serangan di Semenanjung Gaza meskipun perjanjian gencatan senjata sedang berkuat kuasa. - Gambar fail/Reuters
ISTANBUL: Kesatuan Eropah (EU) pada Ahad mengecam pelanggaran gencatan senjata yang dilakukan secara berulang kali oleh Israel di Gaza dan menggesa agar undang-undang kemanusiaan antarabangsa dihormati sepenuhnya, lapor Anadolu Ajansi.

Pesuruhjaya Eropah bagi Kesaksamaan, Kesiapsiagaan dan Pengurusan Krisis Hadja Lahbib, mengecam tindakan Israel yang terus melakukan serangan di Semenanjung Gaza meskipun perjanjian gencatan senjata sedang berkuat kuasa.

"Kami mengecam pelanggaran gencatan senjata yang berulang kali di Gaza, dengan ratusan rakyat Palestin terbunuh dan cedera akibat serangan Israel sepanjang hujung minggu ini," kata Lahbib dalam satu kenyataan yang dikongsi menerusi platform media sosial X.

Lahbib menegaskan bahawa undang-undang kemanusiaan antarabangsa mesti dipertahankan dan orang awam perlu dilindungi di mana sahaja, pada setiap masa.

Menurut pejabat media Gaza, walaupun gencatan senjata telah diisytiharkan, Israel tetap meneruskan serangan yang telah mengorbankan 524 orang dan mencederakan 1,360 yang lain sejak 10 Okt 2025.

-- BERNAMA

#Kesatuan Eropah #EU #pelanggaran gencatan senjata #Gaza #Israel #Palestin