DUNIA

EU luas rangkaian kilang AI untuk perkukuh cita-cita jadikan Eropah benua AI

Bernama 11/10/2025 | 20:15 MYT
EU dan negara EuroHPC yang mengambil bahagian telah memperuntukkan lebih EUR2.6 bilion untuk inisiatif Kilang dan Antena AI. - Gambar fail/Reuters
BRUSSELS: Suruhanjaya Eropah mengumumkan peluasan besar infrastruktur kecerdasan buatan (AI) di Eropah dengan penambahan enam lagi Kilang AI ke dalam rangkaian kemudahan sedia ada.

Penambahan itu menjadikan keseluruhannya 19 Kilang AI beroperasi di 16 negara anggota, lapor Agensi Berita Emiriah (WAM).

Kilang AI baharu akan ditubuhkan di Republik Czech, Lithuania, Belanda, Romania, Sepanyol dan Poland. Kemudahan ini akan memberikan syarikat pemula, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta industri akses terus kepada superkomputer yang dioptimumkan untuk AI, kepakaran teknikal dan sokongan khusus bagi membangunkan serta melaksanakan penyelesaian AI termaju.

Disokong oleh lebih EUR500 juta pelaburan bersama daripada Kesatuan Eropah (EU) dan negara anggota, gelombang ketiga Kilang AI ini akan meningkatkan keupayaan Pengkomputeran Berprestasi Tinggi (HPC) Eropah dan mempercepatkan penggunaan AI dalam sektor-sektor utama.

Secara keseluruhan, EU dan negara EuroHPC yang mengambil bahagian telah memperuntukkan lebih EUR2.6 bilion untuk inisiatif Kilang dan Antena AI, sekali gus memperkukuh aspirasi Eropah untuk menjadi benua peneraju dalam bidang AI.

Suruhanjaya itu dijangka mengumumkan pemilihan Antena Kilang AI tidak lama lagi, yang akan bekerjasama rapat dengan Kilang AI bagi menyediakan komuniti AI di peringkat nasional capaian jauh yang selamat kepada kapasiti superkomputer bertaraf dunia yang dioptimumkan untuk AI.

Pelaksanaan ini menyokong Pelan Tindakan Benua AI dan melengkapi pelaburan EU dalam kilang gergasi AI masa hadapan - kemudahan berskala besar yang didedikasikan untuk membangunkan dan melatih model AI termaju serta sistem perintis - sambil menyokong Strategi Guna AI bagi mempercepat penerimaan kecerdasan buatan dalam ekonomi dan sektor awam Eropah.

-- BERNAMA



#kecerdasan buatan #Kesatuan Eropah #sistem perintis #sektor awam