[TERKINI] Pelajar Perempuan Maut Ditikam di Sekolah Bandar Utama – Suspek Ditahan, Direman Esok | Ikuti Perkembangan di Saluran 501 & Semua Platform AWANI
DUNIA

EU perkenal sistem sempadan berasaskan data biometrik

Bernama 12/10/2025 | 13:30 MYT
Menurut EU, selain maklumat pasport seperti biasa, pelawat juga perlu memberikan data biometrik -- cap jari dan imej wajah -- untuk disimpan dalam pangkalan data. Tarikh kemasukan dan keluar turut akan direkodkan. - Foto hiasan/REUTERS
BRUSSELS: Negara-negara Eropah pada Ahad mula memperkenalkan sistem kemasukan sempadan baharu secara berperingkat bagi warga bukan Kesatuan Eropah (EU), yang direka untuk mengumpul lebih banyak data pelancong serta membantu memerangi jenayah, menurut Suruhanjaya Eropah di Brussels, lapor agensi berita Jerman dpa.


Ringkasan AI
  • EU mula laksana Sistem Kemasukan-Keluar (EES) berperingkat bagi warga bukan EU, kumpul data biometrik (cap jari, imej wajah) dan rekod tarikh masuk/keluar untuk keselamatan sempadan.
  • Sistem dilaksana di 29 negara Kawasan Schengen dalam 6 bulan, beroperasi sepenuhnya 10 April 2026, gantikan cop pasport manual; pelancong boleh daftar awal melalui aplikasi/kiosk.
  • Mulai akhir 2026, warga lebih 50 negara (termasuk AS, UK) perlu mohon kebenaran perjalanan ETIAS walaupun bebas visa, sebagai sebahagian kawalan keselamatan EU.


Beberapa negara EU utama memilih pelaksanaan secara berperingkat bagi mengelak kesesakan di pintu masuk sempadan. Di Jerman, Lapangan Terbang Dusseldorf menjadi lokasi pertama memperkenalkan Sistem Kemasukan-Keluar (Entry-Exit System, EES) baharu itu.

Warga EU tidak akan terjejas dengan perubahan ini. Di bawah sistem baharu, warga bukan EU perlu mendaftar secara elektronik di kaunter yang ditetapkan, kecuali bagi mereka yang memegang kad kediaman atau mempunyai hubungan kekeluargaan langsung dengan warga EU.

Menurut EU, selain maklumat pasport seperti biasa, pelawat juga perlu memberikan data biometrik -- cap jari dan imej wajah -- untuk disimpan dalam pangkalan data. Tarikh kemasukan dan keluar turut akan direkodkan.

Bagi mempercepatkan proses di sempadan, sebahagian maklumat boleh dihantar lebih awal melalui aplikasi mudah alih atau kiosk layan diri.

Dalam tempoh enam bulan akan datang, sistem ini akan diperkenalkan secara beransur-ansur di semua 29 negara yang termasuk dalam Kawasan Schengen tanpa pasport, iaitu 25 daripada 27 negara EU serta Iceland, Liechtenstein, Norway dan Switzerland.

Mulai 10 April 2026, sistem EES dijangka beroperasi di semua pintu masuk ke Eropah, sekali gus menamatkan penggunaan cap pasport secara manual.

Di Jerman, selepas Dusseldorf, lapangan terbang Frankfurt dan Munich akan menyusul, menurut Kementerian Dalam Negeri negara itu.

Lapangan terbang lain serta pelabuhan di sempadan laut luar turut akan dilibatkan secara berperingkat.

Penumpang kereta api juga akan terjejas, contohnya bagi perjalanan Eurostar dari London ke Paris, Brussels atau Amsterdam.

EU menjelaskan bahawa sistem baharu ini bertujuan meningkatkan keselamatan dan mengesan penjenayah pada peringkat awal. Penyimpanan data biometrik juga bertujuan memerangi kecurian identiti serta menyediakan maklumat yang lebih tepat tentang pelawat yang tinggal melebihi tempoh.

Pesuruhjaya Hal Ehwal Dalam Negeri EU, Magnus Brunner menyifatkan EES sebagai "tulang belakang digital" kepada kerangka baharu migrasi dan suaka Eropah.

"Dengan pelancarannya, kita sedang memodenkan cara kita menguruskan sempadan luar Eropah," katanya dalam kenyataan.

EES merupakan langkah pertama dalam sistem sempadan baharu EU. Menjelang akhir 2026, kebenaran perjalanan berbayar akan diwajibkan bagi warga bukan EU yang tidak memerlukan visa.

Langkah ini akan melibatkan warganegara lebih 50 negara termasuk Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom, Brazil, Emiriah Arab Bersatu, Israel dan Korea Selatan.

Mereka perlu memohon kebenaran perjalanan yang dikenali sebagai ETIAS, yang boleh ditolak oleh pihak berkuasa atas alasan keselamatan.

Sistem seumpamanya sudah dilaksanakan di United Kingdom dan Amerika Syarikat.

-- BERNAMA


#Kesatuan Eropah EU #sistem kemasukan sempadan #biometrik #data pelancong