DUNIA

EU rancang pindaan skim kawalan emisi 2027 bagi elak lonjakan bahan api

Bernama 22/10/2025 | 14:20 MYT
Langkah EU itu dibuat susulan tekanan daripada beberapa negara anggota yang mahu mengurangkan risiko lonjakan harga. - Gambar fail/Reuters
LUXEMBOURG: Suruhanjaya Eropah merancang untuk meminda sistem dagangan pelepasan karbon Kesatuan Eropah (EU) bagi sektor pengangkutan dan bangunan yang dijadual mula berkuat kuasa pada 2027, sebagai langkah mengelakkan kenaikan mendadak harga bahan api kepada pengguna, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Di bawah skim berkenaan, syarikat-syarikat perlu memiliki permit bagi setiap pelepasan gas rumah hijau yang dihasilkan.

Mulai 2027, skop sistem itu akan diperluas merangkumi pelepasan karbon daripada pembakaran bahan api -- terutamanya melibatkan sektor pengangkutan dan bangunan.

Langkah itu bertujuan menggalakkan penggunaan tenaga rendah karbon dan mengurangkan pelepasan dalam sektor yang menyumbang sebahagian besar gas rumah hijau EU.

Pada mesyuarat menteri alam sekitar EU di Luxembourg pada Selasa, Pesuruhjaya Iklim Wopke Hoekstra mencadangkan agar negara anggota mempercepatkan pengeluaran sijil permit pelepasan karbon sebaik sistem itu bermula, bagi meningkatkan bekalan dan membantu mengekang kenaikan harga.

Entiti yang dikawal selia akan membeli permit itu melalui kaedah lelongan.

Langkah EU itu dibuat susulan tekanan daripada beberapa negara anggota yang mahu mengurangkan risiko lonjakan harga.

Jerman dan negara-negara lain menggesa Suruhanjaya Eropah mempertimbangkan "penambahbaikan sebelum pelancaran pasaran."

Suruhanjaya itu memaklumkan bahawa cadangan perundangan rasmi mengenai pelarasan itu akan dikemukakan dalam beberapa minggu lagi.

Pindaan itu kemudiannya akan dibincangkan oleh kerajaan-kerajaan EU, dengan Parlimen Eropah turut mempunyai kuasa dalam beberapa elemen tertentu.

-- BERNAMA




#Kesatuan Eropah #Parlimen #negara anggota #kaedah lelongan