DUNIA
EU salur AS$11.8 bilion hasil aset beku Rusia kepada Kiev Januari-Julai

Kesatuan Eropah (EU) telah menyalurkan 10.1 bilion euro (AS$11.8 bilion) hasil daripada dana Bank Pusat Rusia yang dibekukan, kepada Ukraine dari Januari hingga Julai tahun ini. - Gambar fail/REUTERS
MOSCOW: Kesatuan Eropah (EU) telah menyalurkan 10.1 bilion euro (AS$11.8 bilion) hasil daripada dana Bank Pusat Rusia yang dibekukan, kepada Ukraine dari Januari hingga Julai tahun ini, lapor Sputnik/RIA Novosti memetik penerbitan Welt am Sonntag berdasarkan data Suruhanjaya Eropah.
Ringkasan AI
- EU menyalurkan "10.1 bilion daripada aset beku Bank Pusat Rusia kepada Ukraine bagi projek ketenteraan dan awam antara Januari hingga Julai 2025.
- Rusia mengecam tindakan itu sebagai pencurian dan memberi amaran akan bertindak balas terhadap perampasan asetnya.
- Pemimpin Eropah menekankan keperluan kesabaran dalam mencari keamanan, manakala Rusia menolak sebarang penempatan tentera NATO di Ukraine.
Selepas operasi khas Rusia di Ukraine bermula, EU dan negara-negara Kumpulan 7 (G7) telah membekukan hampir separuh daripada rizab pertukaran asing Rusia, kira-kira 300 bilion euro. Lebih 200 bilion euro daripadanya berada di EU, kebanyakannya dalam akaun Euroclear Belgium, satu daripada sistem penyelesaian dan pembayaran terbesar dunia.
Sebagai tindak balas, Rusia mengenakan sekatan tersendiri dengan menempatkan aset pelabur asing dari negara tidak bersahabat serta hasil daripadanya dalam akaun khas jenis "C" yang hanya boleh dikeluarkan melalui keputusan suruhanjaya khas kerajaan.
Kementerian Luar Rusia berulang kali menyifatkan pembekuan aset Rusia di Eropah sebagai pencurian, sambil menegaskan EU menyasarkan bukan sahaja dana individu tetapi juga aset negara Rusia.
Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov pula menegaskan Moscow akan bertindak balas terhadap perampasan aset beku oleh Barat, sambil menambah bahawa Rusia juga berhak untuk tidak memulangkan dana milik negara-negara Barat yang berada di Rusia.
Menurut portal Tagesschau, Canselor Jerman Friedrich Merz yang berucap pada kongres cawangan tempatan Kesatuan Demokratik Kristian (CDU) di Osnabrueck, Lower Saxony, berkata bahawa "kesabaran amat diperlukan" untuk mencapai keamanan di Ukraine.
"Kita telah mengambil langkah pertama," katanya seperti dipetik portal itu. "Kita berada di jalan sepanjang 10 kilometer dan mungkin baru melangkah 200 meter."
Pada Sabtu, Naib Canselor merangkap Menteri Kewangan Jerman Lars Klingbeil (SPD) berkata terlalu awal untuk Jerman membuat keputusan khusus mengenai jaminan keselamatan kepada Ukraine kerana ia perlu dipersetujui bersama rakan antarabangsa dan Kiev sendiri.
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump sebelum ini berkata Perancis, Jerman dan United Kingdom mahu menghantar tentera ke Ukraine, namun menegaskan tiada tentera Amerika akan ditempatkan di negara itu sepanjang pentadbirannya.
Dalam pada itu, Kementerian Luar Rusia sebelum ini menegaskan sebarang senario penempatan tentera NATO di Ukraine sama sekali tidak boleh diterima oleh Rusia dan berisiko mencetuskan peningkatan konflik secara mendadak.
--BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami