BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) menyediakan bantuan kemanusiaan bernilai €2.1 juta (AS$2.4 juta) kepada Colombia selepas negara itu dilanda gempa bumi bermagnitud 7.4 pada awal minggu ini yang mengorbankan sekurang-kurangnya 181 orang.
“Ketika operasi mencari dan menyelamat diteruskan, EU akan terus membantu Colombia sedaya upaya,” kata Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen pada Rabu, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Dana itu bertujuan bagi menyediakan bantuan “barangan kesihatan, bekalan air, sanitasi dan kebersihan, selain perlindungan, makanan dan bantuan tunai” kepada mereka yang paling terjejas akibat gempa bumi itu, menurut Suruhanjaya Eropah.
Pada Selasa, Suruhanjaya itu menyalurkan €100,000 kepada Palang Merah Jerman yang berada di wilayah Choco dan Valle del Cauca yang terjejas teruk, bagi memenuhi keperluan segera 2,500 keluarga.
EU turut menyediakan perkhidmatan pemetaan satelitnya bagi menyokong operasi kecemasan di lapangan.
Suruhanjaya itu kekal berhubung dengan pihak berkuasa Colombia “bagi menyelaras bantuan mengikut keperluan semasa di lokasi bencana,” menurut kenyataan media.
-- BERNAMA-dpa