INTERNATIONAL
EU sedia bertindak balas jika rundingan tarif dengan AS gagal
Negara anggota EU akan bertindak balas sekiranya rundingan tidak berhasil.
WARSAW: Suruhanjaya Ekonomi Kesatuan Eropah (EU) pada Jumaat menyatakan blok itu bersedia mempertahankan kepentingan ekonominya jika rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) berhubung tarif tidak mencapai kata sepakat.
Langkah AS untuk mengenakan tarif lebih tinggi telah ditangguhkan selama 90 hari, memberi ruang kepada Menteri-Menteri Kewangan EU untuk berbincang tentang strategi mencapai perjanjian perdagangan serta merangka pelan tindakan jika rundingan menemui kegagalan.
Pesuruhjaya Ekonomi EU, Valdis Dombrovskis dan Menteri Kewangan Jerman, Joerg Kukies, ketika tiba untuk rundingan di Warsaw, menyatakan bahawa mereka akan bertindak balas sekiranya rundingan tidak berhasil.
Jika perjanjian dicapai dalam tempoh tiga bulan ini, iaitu berkemungkinan berdasarkan cadangan EU untuk tarif sifar ke atas semua barangan industri, isu itu boleh diselesaikan secara damai.
Namun, jika rundingan gagal, 27 kerajaan negara anggota EU perlu menyelaraskan bantuan kepada sektor industri masing-masing yang terjejas akibat tarif tersebut.
Ketidakseimbangan kewangan awam antara negara anggota turut menjadi cabaran kerana sesetengah negara mampu menyokong industri mereka, manakala yang lain tidak.
Keadaan ini dikhuatiri akan menjejaskan persaingan adil dalam pasaran tunggal EU.
Menteri Kewangan Poland, Andrzej Domanski, menegaskan pentingnya pendekatan bersama dari seluruh EU.
Katanya beliau tidak mahu melihat persaingan untuk menawarkan bantuan industri secara tidak seimbang.