BRUSSELS: Suruhanjaya Eropah menerusi Pihak Berkuasa Kesiapsiagaan dan Kecemasan Kesihatan (HERA) membeli kumpulan pertama 5,300 dos vaksin cacar monyet yang dihantar ke Sepanyol pada Selasa, kata jurucakap Suruhanjaya itu.

"Setakat ini, kumpulan pertama vaksin telah tiba di negara-negara paling teruk terjejas akibat wabak cacar monyet," lapor Xinhua memetik kenyataan pesuruhjaya Eropah untuk kesihatan dan keselamatan makanan Stella Kyriakides, sebagai berkata.

Pada pertengahan Jun, suruhanjaya itu juga telah menempah 109,090 dos Imvanex, vaksin cacar yang dihasilkan pengeluar Denmark Bavarian Nordic, dan akan dihantar ke negara-negara Kesatuan Eropah (EU), Norway serta Iceland menjelang akhir bulan ini.

Vaksin itu diperuntukkan secara pro-rata, dengan negara merekodkan bilangan tertinggi kes akan diutamakan.

Selepas Sepanyol, Portugal, Jerman dan Belgium dijangka menerima vaksin itu.

Agensi Ubat-ubatan Eropah (EMA) pada Selasa turut mengkaji semula keberkesanan penggunaan Imvanex terhadap cacar monyet.

Kajian makmal menunjukkan bahawa vaksin itu "mencetuskan antibodi melawan virus itu," menurut agensi itu.

Imvanex kini dibenarkan untuk kegunaan orang dewasa di negara-negara Kesatuan Eropah (EU).

Vaksin cacar boleh digunakan untuk membendung penyebaran cacar monyet, berikutan virus cacar dan cacar monyet saling berkait rapat

Oleh kerana Imvanex tidak tersedia secara meluas di EU, EMA mengesyorkan penggunaan Jynneos buatan Amerika Syarikat, yang diluluskan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) AS bagi merawat jangkitan cacar dan cacar monyet.

Gejala yang dihadapi termasuk demam, sakit kepala, sakit otot dan keletihan, sehingga boleh membawa maut.

Ia adalah penyakit zoonosis, yang mampu berjangkit dari haiwan kepada manusia dan dari manusia ke manusia.

"Sejak 18 Mei, kira-kira 2,682 kes cacar monyet direkodkan di 23 negara anggota EU (Austria, Belgium, Bulgaria, Croatia, Republik Czech, Denmark, Finland, Perancis, Jerman, Greece, Hungary, Ireland, Itali, Latvia, Luxembourg , Malta, Belanda, Poland, Portugal, Romania, Slovenia, Sepanyol dan Sweden) serta Norway dan Iceland," menurut Suruhanjaya itu.

-- BERNAMA