DUNIA

EU setuju bina perkongsian keselamatan dengan India

Bernama 22/01/2026 | 02:35 MYT
Ursula von der Leyen (kiri) dan Kaja Kallas (kanan) ketika hadir di Parlimen Eropah, di Strasbourg, Perancis, 21 Jan 2026. REUTERS
NEW DELHI: Kesatuan Eropah (EU) bersedia membina perkongsian keselamatan yang lebih erat dengan India ketika orde antarabangsa berasaskan peraturan kini berdepan tekanan akibat persaingan kuasa global.


Ringkasan AI
  • Kesatuan Eropah bersedia membina perkongsian keselamatan yang lebih erat dengan India bagi menangani tekanan dalam orde antarabangsa.
  • Sidang Kemuncak EU-India ke-16 di New Delhi akan menerima agenda strategik bersama yang baharu.
  • India dan EU merancang untuk menamatkan rundingan perjanjian perdagangan bebas bagi memperkukuhkan hubungan ekonomi mereka.


"Ini merupakan detik penting bagi hubungan dua hala kita, dengan momentum politik yang diperbaharui dan matlamat yang jelas," kata Ketua Dasar Luar EU merangkap Naib Presiden Suruhanjaya Eropah, Kaja Kallas, di Parlimen Eropah pada Rabu.

"Hari ini kita bersetuju untuk mengorak langkah ke hadapan dengan menandatangani perkongsian keselamatan dan pertahanan baharu EU-India dalam bidang seperti keselamatan maritim, keselamatan siber dan pencegahan keganasan," kata Kallas.

Beliau berkata Sidang Kemuncak EU-India ke-16 di New Delhi pada 27 Jan ini akan menerima pakai agenda strategik komprehensif bersama yang baharu.

Presiden Majlis EU Antonio Costa dan Presiden Suruhanjaya EU Ursula von der Leyen akan mengadakan lawatan negara ke India dari 25 hingga 27 Jan ini sebagai tetamu utama sempena sambutan Hari Republik ke-77.

"EU dan India semakin mendekati antara satu sama lain pada ketika torde antarabangsa berasaskan peraturan berdepan tekanan yang tidak pernah berlaku sebelum ini akibat peperangan, paksaan dan pemecahan ekonomi," kata Kallas.

Mengenai "hasil konkrit" di sidang kemuncak itu, Kallas berkata India dan EU menyasarkan untuk memuktamadkan rundingan perjanjian perdagangan bebas.

"Perjanjian ini akan membuka pasaran, menghapuskan halangan serta mengukuhkan rantaian bekalan kritikal dalam teknologi bersih, farmaseutikal dan semikonduktor," katanya.

Sebagai sebahagian daripada perkongsian yang "lebih bercita-cita tinggi dan lebih beroperasi", kedua-dua pihak turut mempertimbangkan usaha untuk memperkukuh kerjasama dalam beberapa bidang seperti keselamatan laluan perkapalan, kecerdasan buatan, serta memudahkan pergerakan tenaga kerja mahir dan profesional.

-- BERNAMA

#EU #India #perjanjian perdagangan bebas #Kaja Kallas #perkongsian keselamatan