DUNIA
EU tambah dana keselamatan sempadan Finland, rancang bina "tembok dron"

Brunner berkata semasa lawatan ke Finland pada Isnin bahawa Suruhanjaya Eropah telah menyalurkan EUR80 juta (US$94.09 juta) dalam bentuk pembiayaan khusus kepada Finland sepanjang dua tahun lalu. - Gambar fail/Reuters
HELSINKI: Kesatuan Eropah (EU) akan meningkatkan sokongan kewangan dan operasi untuk keselamatan sempadan timur Finland, termasuk rancangan membina "tembok dron" di sepanjang kawasan sempadan, lapor Xinhua.
Pesuruhjaya EU bagi Hal Ehwal Dalam Negeri dan Migrasi Magnus Brunner berkata semasa lawatan ke Finland pada Isnin bahawa Suruhanjaya Eropah telah menyalurkan EUR80 juta (US$94.09 juta) dalam bentuk pembiayaan khusus kepada Finland sepanjang dua tahun lalu.
Selain itu, Agensi Pengawal Sempadan dan Pantai Eropah (Frontex) akan melancarkan program peralatan bernilai EUR150 juta, dengan 90 peratus dibiayai EU, terutamanya untuk dron.
Menurut kenyataan akhbar kerajaan Finland, Suruhanjaya telah mencadangkan peruntukan sebanyak EUR1.6 bilion bagi sektor hal ehwal dalam negeri Finland di bawah rangka kewangan pelbagai tahun EU yang baharu bermula 2028 - hampir EUR1 bilion lebih tinggi berbanding tempoh semasa.Keutamaan segera termasuk meningkatkan keupayaan dron dan antidron untuk kawalan sempadan.
Brunner berkata selepas bertemu Menteri Dalam Negeri Finland Mari Rantanen bahawa EU sedang melaksanakan inisiatif Eastern Flank Watch bagi memperkukuh pemantauan masa nyata ke atas negara anggota yang bersempadan dengan Rusia, termasuk pembinaan "tembok dron" yang dijangka siap dalam tempoh dua tahun akan datang. (EUR1 = US$1.18)
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami