Skip to main content

Dunia

EU tangguh sidang kemuncak kedua dengan GCC susulan ketegangan serantau

Lapangan terbang Riyadh yang menjadi sasaran beberapa serangan sejak kebelakangan ini turut menjadi faktor Sidang Kemuncak kedua Kesatuan Eropah-Majlis Kerjasama Teluk (EU-GCC), yang pada asalnya dijadualkan berlangsung pada 24 Okt ditangguhkan. - Gambar AP
Lapangan terbang Riyadh yang menjadi sasaran beberapa serangan sejak kebelakangan ini turut menjadi faktor Sidang Kemuncak kedua Kesatuan Eropah-Majlis Kerjasama Teluk (EU-GCC), yang pada asalnya dijadualkan berlangsung pada 24 Okt ditangguhkan. - Gambar AP

Advertisement

BRUSSELS/ISTANBUL: Sidang Kemuncak kedua Kesatuan Eropah-Majlis Kerjasama Teluk (EU-GCC), yang pada asalnya dijadualkan berlangsung pada 24 Okt di Riyadh, Arab Saudi, ditangguhkan ke satu tarikh baharu yang akan dipersetujui kemudian oleh kedua-dua pihak, menurut pengumuman GCC pada Khamis.

Menurut Anadolu Ajansi, Setiausaha Agung GCC, Jasem Albudaiwi dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dibuat berikutan “percubaan berterusan militia pengganas Houthi menyasarkan Arab Saudi dan kemudahan awamnya, sekali gus mengancam keselamatan dan kesejahteraan orang awam”, selain penggantungan operasi yang berpanjangan di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid serta kebimbangan terhadap keselamatan delegasi yang menyertai sidang kemuncak itu.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis, EU berkata, perkongsian dengan GCC mempunyai kepentingan strategik yang besar kepada kedua-dua rantau, sambil menegaskan semula komitmennya untuk memperkukuh hubungan dan meneruskan momentum yang terjalin sejak sidang kemuncak pertama pada Oktober 2024.

Albudaiwi menegaskan bahawa GCC dan EU komited untuk bekerjasama mewujudkan keadaan yang sesuai bagi membolehkan sidang kemuncak itu berlangsung, demi mencapai matlamat jangka panjang mereka untuk memperkukuh dan memajukan kerjasama dalam pelbagai bidang antara kedua-dua organisasi.

Pengumuman itu dibuat ketika serangan Houthi terhadap Arab Saudi semakin meningkat, dengan serangan berkenaan bertambah sengit sejak Julai.

Lapangan terbang Riyadh menjadi sasaran beberapa serangan sejak kebelakangan ini, sehingga menyebabkan operasi digantung buat sementara waktu.

Lima lapangan terbang di Arab Saudi menjadi sasaran serangan Houthi sejak 5 Okt, mengakibatkan 20 orang maut dan ratusan lagi cedera, selain menyebabkan kerosakan harta benda serta gangguan kepada trafik udara.

Perkembangan terbaharu itu merupakan sebahagian daripada peningkatan ketenteraan yang bermula pada Julai dan menjadi yang paling meluas sejak keadaan relatif tenang di Yaman susulan gencatan senjata yang bermula pada April 2022.

Arab Saudi mengetuai pakatan tentera yang menyokong kerajaan Yaman yang diiktiraf masyarakat antarabangsa dalam menentang Houthi sejak 2015. Kumpulan itu menguasai ibu negara Sanaa dan beberapa wilayah sejak 2014.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement