EU tidak iktiraf Rodriguez sebagai presiden interim Venezuela, kata jurucakap

Rodriguez mengangkat sumpah sebagai presiden sementara Venezuela di hadapan Perhimpunan Kebangsaan pada Isnin. - Reuters
MOSCOW: Kesatuan Eropah (EU) tidak akan mengiktiraf Delcy Rodriguez sebagai presiden sementara Venezuela, namun akan mengekalkan hubungan terhad dengan negara Amerika Selatan itu bagi melindungi kepentingannya, kata jurucakap Suruhanjaya Eropah (EU) bagi hal ehwal luar Anitta Hipper pada Selasa, lapor Sputnik/RIA Novosti.
"Apa yang akan kami lakukan dalam kes ini adalah seperti yang telah kami lakukan setakat ini. Walaupun kami tidak mengiktiraf kesahihan Presiden [Nicolas] Maduro, mahupun Delcy Rodriguez, kami akan mengekalkan penglibatan yang disasarkan dengan pihak berkuasa Venezuela bagi melindungi kepentingan kami sendiri," katanya pada satu taklimat di Brussels.
Hipper berkata EU menjangkakan masa depan Venezuela akan "dibentuk melalui dialog inklusif yang membawa kepada peralihan demokratik" yang merangkumi semua pihak yang komited kepada demokrasi, termasuk pemimpin pembangkang Venezuela.
Rodriguez mengangkat sumpah sebagai presiden sementara Venezuela di hadapan Perhimpunan Kebangsaan pada Isnin, beberapa hari selepas Presiden Nicolas Maduro dan isterinya, Cilia Flores, ditangkap dalam satu operasi ketenteraan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


