Euro 2016: Menara Eiffel ditutup susulan rusuhan peminat

Agensi
Julai 11, 2016 09:20 MYT
Menara Eiffel ditutup kepada orang awam susulan rusuhan di antara peminat dan polis di lokasi pelancongan itu. -Gambar fail
Menara Eiffel di sini ditutup kepada orang awam pada Isnin susulan rusuhan di antara peminat dan polis di lokasi pelancongan itu selepas final kejohanan bola sepak Piala Eropah.
Menurut pihak pengurusan menara ikon itu, ia “tidak dapat dibuka dalam situasi keselamatan semasa” apabila beberapa remaja bertindak menyalakan api pada tong sampah, kereta dan skuter.
Mereka kemudian bertempiaran lari setelah diarah bersurai oleh polis menggunakan gas pemedih mata dan meriam air.
Kira-kira 40 orang telah ditangkap susulan kekecohan yang berlaku di sekitar tapak mercu tanda negara itu, di mana peminat berkumpul selepas mereka tidak dibenarkan masuk ke zon peminat berdekatan yang penuh sesak pada kapasiti 90,000 orang.
Tapak Menara Eiffel itu diselubungi gas pemedih mata dari polis rusuhan yang bertindak keras ke atas golongan belia yang memulakan kebakaran di kaki lima dan membaling botol serta objek lain ke arah polis.
#bakar tong sampah #ditutup kepada orang awam #Euro 2016 #faktor keselamatan #Menara Eiffel