THE HAGUE: Kesatuan Eropah memperkukuh usaha memerangi penyeludupan migran menerusi unit baharu di Europol yang menyasarkan rangkaian penyeludupan antarabangsa, lapor agensi berita Jerman dpa
Pada sidang akhbar di The Hague pada Selasa, Pengarah Europol Catherine De Bolle berkata rangkaian penyeludupan migran "beroperasi dengan lebih kompleks, dalam talian dan luar talian." "Jika kita mahu memusnahkan rangkaian ini, keupayaan kita mesti berkembang sama pantas dengan mereka,” katanya.
Advertisement
Beliau berkata rangkaian penyeludupan telah menjadi "perniagaan jenayah global, digital dan sangat menguntungkan."
"Mereka mempunyai dimensi global yang signifikan dan bergantung pada infrastruktur kewangan pelbagai lapisan termasuk sistem perbankan bawah tanah, untuk bergerak dan menyembunyikan keuntungan jenayah mereka."
Menurut Europol, rangkaian penyeludupan membahayakan nyawa ratusan ribu orang setiap tahun dan menjadi semakin ganas.
Migran membayar sehingga €20,000 (USD$22,000) untuk perjalanan yang mengancam nyawa ke Eropah.
Europol berkata keuntungan berbilion itu sering disalurkan ke dalam mata wang kripto dan digunakan untuk membiayai aktiviti jenayah lain.
Kira-kira 90 peratus pendatang yang memasuki EU secara tidak tetap bergantung pada penyeludup, kata Pesuruhjaya Hal Ehwal Dalam Negeri EU Magnus Brunner, yang menyifatkan amalan itu sebagai bentuk jenayah terancang yang merosakkan.
Unit baharu tersebut, yang berpangkalan di ibu pejabat Europol di The Hague, akan menyelaraskan penyiasatan di seluruh negara anggota dan bekerjasama rapat dengan agensi sempadan EU Frontex dan rakan kongsi antarabangsa.
Usahanya akan menumpukan pada analisis data dan penyiasatan kewangan untuk mengesan aliran wang dan mengganggu rangkaian penyeludupan.
Menurut Europol, ia telah membantu pihak berkuasa negara dalam menangani pemerdagangan manusia selama sedekad, menyelaraskan hampir 200 operasi menentang kumpulan penyeludupan tahun lepas.
-- BERNAMA-dpa