Facebook nafi jadi punca sasaran vaksinasi di AS gagal dicapai

Reuters
Julai 19, 2021 11:23 MYT
Data menunjukkan bahawa 85 peratus pengguna Facebook di AS telah atau ingin diberi vaksin. - Reuters
PLATFORM media sosial Facebook menafikan dakwaan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden bahawa mereka menjadi 'pembunuh' dengan membiarkan maklumat yang salah mengenai vaksin COVID-19 tersebar.
"Data menunjukkan bahawa 85 peratus pengguna Facebook di AS telah atau ingin diberi vaksin," kata Naib Presiden Facebook, Guy Rosen, dalam catatan blog.
"Sasaran Presiden Biden adalah agar 70 peratus warga AS diberi vaksin menjelang 4 Julai. Jadi Facebook bukanlah sebab sasaran ini gagal dicapai," kata Rosen.
Pakar dan penggubal undang-undang sebelum ini mendakwa media sosial termasuk Facebook, Twitter dan YouTube menjadi platform pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan fakta tidak benar berkenaan vaksin.
Facebook juga didakwa gagal mengawal kandungan yang dimuat naik di platformnya.
"Mereka 'membunuh' orang. Satu-satunya wabak yang ada sekarang adalah dalam kalangan mereka yang tidak divaksin," kata Biden kepada wartawan ketika diminta memberi mesejnya kepada platform media sosial seperti Facebook.
Facebook telah memperkenalkan peraturan berkenaan kenyataan palsu yang dimuat naik mengenai COVID-19 dan vaksin, dan memaklumkan mereka telah mengambil tindakan sewajarnya untuk memberikan maklumat yang boleh dipercayai.
Varian Delta menyumbang kepada lonjakan kematian di AS dan hampir keseluruhan kes adalah dalam kalangan mereka yang tidak divaksin, kata pegawai AS pada Jumaat.
Kes COVID-19 di AS meningkat 70 peratus berbanding minggu sebelumnya dan kematian meningkat 26 peratus dengan kebanyakan kes berlaku di beberapa bahagian negara itu yang memiliki kadar vaksinasi rendah.
#Facebook #COVID-19 #Amerika Syarikat #Joe Biden #vaksin #media sosial