DUNIA

Fasa kedua pilihan raya Myanmar bermula Ahad dalam suasana kurang meriah

Bernama 11/01/2026 | 07:30 MYT
Pengundi mula keluar menunaikan tanggungjawab mereka hari ini susulan fasa pertama pilihan raya pada 28 Dis lepas, yang diadakan hampir lima tahun selepas rampasan kuasa tentera. - Gambar/ Reuters
PHNOM PENH: Myanmar mengadakan fasa kedua pilihan raya negara itu pada Ahad di 100 perbandaran meskipun menerima kritikan hebat antarabangsa bahawa proses pengundian itu tidak adil dan bebas.

Pengundi mula keluar menunaikan tanggungjawab mereka hari ini susulan fasa pertama pilihan raya pada 28 Dis lepas, yang diadakan hampir lima tahun selepas rampasan kuasa tentera.

Pengerusi Suruhanjaya Keselamatan dan Keamanan Negara Jeneral Kanan Min Aung Hlaing menggesa pengundi memilih calon yang benar-benar boleh berkhidmat demi kepentingan wilayah mereka serta negara.

"...dan mereka yang komited untuk meningkatkan dan memajukan pendidikan serta penjagaan kesihatan tempatan," lapor media kerajaan The Global New Light of Myanmar hari ini.

Menurut kerajaan, peratusan keluar mengundi pada fasa pertama adalah sekitar 52 peratus.

Dalam pilihan raya tiga fasa itu, lebih 5,000 calon daripada 57 parti politik bertanding bagi merebut kira-kira 950 kerusi Dewan Rakyat, Dewan Negara serta Dewan Undangan Negeri dan Wilayah.

Fasa terakhir dijadualkan berlangsung pada 25 Jan ini.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Kesatuan negara itu, parti pro-tentera, Parti Solidariti dan Pembangunan Kesatuan (USDP) mendahului pada fasa pertama bulan lepas.

Mereka memenangi hampir 90 kerusi daripada 102 kawasan pilihan raya Dewan Rakyat.

Tentera mengambil alih kuasa pada Februari 2021.

-- BERNAMA




#pilihan raya Myanmar #hari pengundian #kiritikan antarabangsa