DUNIA

FBI geledah pejabat pilihan raya Georgia berkait undi presiden AS 2020

Astro Awani 28/01/2026 | 23:10 MYT
Pengarah FBI Kash Patel. - Foto REUTERS
ATLANTA: Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat melaksanakan waran geledah di sebuah pejabat pilihan raya di Fulton County, Georgia, pada Rabu, sebagai sebahagian siasatan berkaitan pilihan raya presiden AS 2020.

Jurucakap FBI mengesahkan ejen sedang menjalankan “tindakan penguatkuasaan undang-undang yang dibenarkan mahkamah” di pusat operasi pilihan raya daerah itu di Union City, selatan Atlanta, namun enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih berjalan.

Pihak berkuasa daerah turut mengesahkan penggeledahan berkenaan tanpa memperincikan bahan yang dirampas.

Fulton County menjadi tumpuan sejak pilihan raya 2020 selepas bekas Presiden Donald Trump berulang kali mendakwa wujud penipuan undi di Georgia, walaupun beberapa audit, semakan rasmi dan keputusan mahkamah mendapati tiada penipuan yang menjejaskan keputusan.

Dalam pilihan raya itu, calon Demokrat Joe Biden memenangi Georgia dengan majoriti tipis.

Laporan media menyatakan penggeledahan itu bertujuan mendapatkan rekod berkaitan pilihan raya 2020, termasuk dokumen dan data pilihan raya.

Tindakan berkenaan turut berlaku ketika beberapa agensi persekutuan dan pihak berkuasa negeri masih berdepan pertikaian undang-undang mengenai akses kepada bahan pilihan raya lama.

Kes ini juga berkait rapat dengan siri siasatan dan pertikaian politik susulan usaha membatalkan keputusan pilihan raya 2020, termasuk kes jenayah negeri terhadap Trump dan sekutunya di Georgia yang sebelum ini digugurkan atas isu prosedur.

Setakat ini, FBI tidak mengesahkan sama ada sebarang pertuduhan akan difailkan hasil penggeledahan tersebut.






#FBI #Donald Trump #Joe Biden #pilihan raya