[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
DUNIA

The Fed turun kadar faedah, isyarat dua lagi pemotongan tahun ini

Agensi 17/09/2025 | 22:20 MYT
Powell berkata, risiko inflasi masih wujud tetapi perhatian utama kini tertumpu kepada kelemahan guna tenaga. - Gambar Reuters
WASHINGTON: Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) pada Rabu menurunkan kadar faedah sebanyak suku mata peratus kepada julat 4.00 hingga 4.25 peratus, pemotongan pertama sejak Disember lalu.

Fed turut memberi isyarat bahawa dua lagi pemotongan kadar dijangka dibuat pada baki dua mesyuarat dasar tahun ini, berikutan kebimbangan terhadap kelemahan pasaran pekerjaan dan peningkatan kadar pengangguran.

Dalam kenyataan rasmi, Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) berkata, pertambahan pekerjaan telah perlahan, manakala kadar pengangguran meningkat sedikit.

Pengerusi Fed, Jerome Powell berkata, risiko inflasi masih wujud tetapi perhatian utama kini tertumpu kepada kelemahan guna tenaga.

“Permintaan buruh semakin lemah dan kadar penciptaan pekerjaan berada di bawah paras yang diperlukan untuk mengekalkan kadar pengangguran,” katanya.

Unjuran terbaharu menunjukkan inflasi dijangka kekal pada 3 peratus tahun ini, lebih tinggi daripada sasaran 2 peratus Fed.

Kadar pengangguran pula diunjur pada 4.5 peratus, manakala pertumbuhan ekonomi disemak naik sedikit kepada 1.6 peratus.

Pasaran kewangan memberi reaksi bercampur, dengan saham AS naik seketika sebelum susut semula, manakala dolar AS mengukuh berbanding mata wang utama lain.

Langkah ini mendapat sokongan majoriti ahli FOMC termasuk Gabenor Lisa Cook, tetapi ditentang oleh Gabenor baharu Stephen Miran yang mahukan pemotongan lebih besar, iaitu setengah mata peratus.






#The Fed #kadar faedah #Rizab Persekutuan AS #kadar pengangguran