UMAT Islam di New Zealand membantah rancangan untuk menerbitkan filem berkaitan tragedi tembakan masjid di Christchurch pada tahun 2019 yang mengorbankan 51 mangsa.

Mereka berkata, serangan itu masih dianggap baharu dan keluarga serta komuniti masih bersedih dengan tragedi berkenaan.

Filem yang berjudul 'They Are Us', akan memfokuskan kepada tindak balas Perdana Menteri Jacinda Ardern terhadap serangan ke atas dua masjid oleh lelaki berkulit putih pada 15 Mac 2019.

Tajuknya diambil daripada kata-kata Ardern pada hari itu di mana kenyataan pemimpin berusia 40 tahun itu menyatukan negaranya dan dipuji di seluruh dunia.

Persatuan Muslim Canterbury berkata, masih banyak isu sensitif susulan tragedi tersebut.

Jelasnya walaupun tindak balas Ardern dalam perkara itu sangat pantas dan baik namun filem berkenaan diterbitkan pada waktu yang masih kurang sesuai.

Pejabat Ardern menyatakan kerajaan tidak terlibat dengan filem berkenaan.

Pelakon Australia, Rose Byrne akan memainkan watak Ardern dalam filem tersebut manakala Andrew Niccol sebagai penulis dan pengarah.