Skip to main content

Dunia

Filipina akan anjur Sidang Kemuncak dengan keramahan rakyat - Wanita Pertama

 Liza Araneta-Marcos_FB Liza Marcos
Araneta-Marcos berkata negara itu akan mengalu-alukan para peserta dengan keramahan dan keprihatinan rakyat Filipina. - Foto Facebook/Liza Araneta-Marcos

MANILA: Wanita Pertama Liza Araneta-Marcos pada Sabtu menyatakan kesediaan Filipina untuk mengalu-alukan ketua negara dan delegasi ke Sidang Kemuncak Pemimpin Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) ke-48 di Cebu.

Menurut Agensi Berita Filipina (PNA), Araneta-Marcos mengadakan mesyuarat bersama Pegawai Perhubungan Pemimpin di Istana Malacanang di Manila pada 30 April lepas sebagai sebahagian daripada persiapan kerajaan bagi sidang kemuncak yang dijadual berlangsung pada 7 dan 8 Mei ini.

Advertisement

Dalam hantaran di Facebook, Wanita Pertama itu berkata pegawai perhubungan berkenaan “akan membimbing setiap delegasi sepanjang perjalanan mereka.”

“Kerja berpasukan yang baik, hasil yang cemerlang,” katanya. “Kerana layanan mesra sebenar rakyat Filipina terletak pada perkara-perkara kecil yang dilakukan dengan betul.”

Dalam hantaran di Instagram, Araneta-Marcos berkata negara itu akan mengalu-alukan para peserta dengan keramahan dan keprihatinan rakyat Filipina.

“Detik pelaksanaan semakin hampir. Bersedia mengalu-alukan ASEAN dengan cara Filipina -- mesra, prihatin dan lancar,” menurut hantaran itu.

Sebagai Pengerusi ASEAN bagi 2026, Filipina akan menganjurkan acara berkaitan sidang kemuncak di beberapa lokasi termasuk Cebu dan Manila.

Araneta-Marcos aktif menyelia persiapan bagi sidang kemuncak ASEAN dengan menumpukan kepada perancangan teliti, kecekapan kos dan kecemerlangan layanan.

Acara di Cebu itu akan menghimpunkan ketua negara, pegawai kanan dan delegasi dari negara anggota ASEAN, serta rakan dialog dan wakil organisasi antarabangsa.

Para delegasi dijangka terlibat dalam perbincangan peringkat tinggi mengenai isu politik, ekonomi, keselamatan dan sosiobudaya yang mempengaruhi Asia Tenggara.

Sidang kemuncak itu akan menjadi platform bagi pemimpin serantau dan rakan antarabangsa untuk menyelaraskan dasar, memperkukuh kerjasama serta menangani cabaran mendesak di peringkat serantau dan global.

-- BERNAMA-PNA

Must Watch Video