INTERNATIONAL

Filipina gantung aktiviti pelancongan berhampiran Gunung Kanlaon

Bernama 09/04/2025 | 13:00 MYT
Orang ramai digesa sentiasa berwaspada dan mematuhi nasihat rasmi berikutan keadaan gunung berapi yang masih tidak stabil. - AP
MANILA: Jabatan Pelancongan Filipina (DOT) pada Rabu memaklumkan semua aktiviti pelancongan di kawasan berhampiran Gunung Kanlaon di Negros Occidental digantung sementara bagi memastikan keselamatan penduduk dan pelancong.

Menurut Agensi Berita Filipina (PNA), DOT dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya sedang berkoordinasi secara rapat dengan pihak berkuasa tempatan (LGU) yang terlibat bagi "mengutamakan" keselamatan dan kesejahteraan individu yang terjejas akibat letusan kuat Gunung Kanlaon pada Selasa melalui pemantauan serta tindak balas segera.

"Semua aktiviti pelancongan berhampiran Gunung Kanlaon, termasuk pendakian dan lawatan ke destinasi berdekatan seperti La Carlota City, Bago City, La Castellana dan kawasan sekitar lain di Negros Occidental, telah buat digantung sementara waktu," katanya.

Antara kawasan lain yang turut mengalami hujan abu ialah sebahagian Guimaras, Iloilo dan Antique.

"Kami menasihatkan pelancong untuk menangguhkan sebarang rancangan perjalanan ke lokasi-lokasi ini serta mematuhi langkah keselamatan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan," menurut kenyataan itu.

DOT turut menggesa orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi nasihat rasmi berikutan keadaan gunung berapi yang masih tidak stabil.

Sementara itu, DOT memaklumkan bahawa semua kemudahan penginapan dan infrastruktur pelancongan di kawasan terjejas masih berada dalam keadaan kukuh dan selamat.

Setakat ini, tiada pelancong yang terkandas dilaporkan memandangkan Gunung Kanlaon kekal pada Tahap Amaran 3.

-- BERNAMA

#Gunung Kanlaon #gunung berapi #pelancongan #keselamatan #Filipina