Filipina mulakan operasi pembersihan selepas Taufan Kalmaegi ragut 85 nyawa

Seorang lelaki berjalan di jalan berlumpur dipenuhi kereta yang dihanyutkan banjir akibat Taufan Kalmaegi di kawasan perumahan Bacayan, Bandar Cebu, Filipina. - Foto REUTERS
CEBU: Penduduk di wilayah tengah Filipina mula menjalankan kerja-kerja pembersihan selepas Taufan Kalmaegi melanda kawasan itu, mengorbankan sekurang-kurangnya 85 orang dan menyebabkan puluhan lagi hilang.
Ringkasan AI
- Sekurang-kurangnya 85 orang maut dan 75 lagi hilang selepas taufan kuat melanda wilayah tengah Filipina, termasuk enam anggota tentera dalam nahas helikopter semasa misi bantuan.
- Rumah musnah, kenderaan terbalik dan jalan tersumbat akibat banjir kilat dan hujan lebat melebihi purata bulanan; lebih 200,000 orang dipindahkan di seluruh Visayas.
- Kalmaegi kini menuju ke Vietnam dengan kelajuan angin mencecah 180km/j, manakala China mengaktifkan amaran bencana maritim di wilayah Hainan.
Antara yang terkorban ialah enam anggota tentera yang maut apabila helikopter mereka terhempas di Agusan del Sur, Mindanao, semasa misi kemanusiaan.
Agensi bencana negara turut melaporkan 75 orang hilang dan 17 cedera.
Di Cebu City, Marlon Enriquez, 58, membersihkan lumpur tebal dari rumahnya sambil cuba menyelamatkan barangan keluarga.
“Ini kali pertama berlaku kepada kami,” katanya kepada Reuters.
“Saya tinggal di sini hampir 16 tahun, dan belum pernah alami banjir seperti ini.”
Seorang lagi penduduk, Reynaldo Vergara, 53, berkata kedai kecilnya di Mandaue musnah selepas sungai berhampiran melimpah.
“Sekitar pukul 4 atau 5 pagi, air terlalu deras hingga tak boleh keluar rumah,” katanya kepada AFP.
“Air sangat mengganas.”
Taufan Kalmaegi melanda ketika wilayah Cebu masih dalam proses pemulihan daripada gempa bumi bermagnitud 6.9 bulan lalu yang meragut puluhan nyawa dan memaksa ribuan berpindah.
Menurut pakar kaji cuaca Charmagne Varilla, kawasan sekitar Cebu City menerima 183mm hujan dalam tempoh 24 jam sebelum taufan mendarat—jauh melebihi purata bulanan 131mm.
Hujan lebat itu mencetuskan banjir kilat dan menyebabkan sungai serta saluran air melimpah.
Lebih 200,000 orang telah dipindahkan di seluruh wilayah Visayas, termasuk Pulau Cebu serta bahagian selatan Luzon dan utara Mindanao.
Menjelang tengah hari Rabu, Kalmaegi bergerak keluar dari wilayah Palawan ke Laut China Selatan dengan kelajuan angin berterusan sehingga 130km/j dan tiupan kencang mencecah 180km/j.
Ramalan cuaca menjangkakan taufan itu akan terus menguat sebelum mendarat di Vietnam pada Jumaat.
China turut mengeluarkan amaran mengenai “gelombang bencana” di Laut China Selatan dan mengaktifkan tindak balas kecemasan maritim di wilayah selatannya, Hainan, menurut penyiar rasmi CCTV.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


