Filipina siap siaga hadapi Taufan Fung-wong pula

Marcos menggesa orang ramai agar kekal tenang namun berwaspada, sambil menekankan kepentingan kesiapsiagaan bagi mengurangkan potensi kesan taufan itu. - Gambar/ AP
MANILA: Presiden Filipina Ferdinand R. Marcos Jr. pada Sabtu berkata semua agensi kerajaan yang berkaitan telah diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga sepenuhnya ketika Taufan Uwan (nama antarabangsa Fung-wong) semakin kuat dan menghampiri utara Luzon, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).
Dalam satu kenyataan, Marcos menggesa orang ramai agar kekal tenang namun berwaspada, sambil menekankan kepentingan kesiapsiagaan bagi mengurangkan potensi kesan taufan itu.
"Kami terus memantau pengukuhan Taufan Uwan ketika ia menghampiri utara Luzon.
"Semua agensi kerajaan kini dalam keadaan berjaga-jaga sepenuhnya dan telah mengambil tindakan segera bagi memastikan keselamatan rakyat," katanya.
Marcos menasihati orang ramai supaya mematuhi nasihat keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan (LGU) dan sentiasa mengikuti perkembangan cuaca rasmi.
Setakat 11 pagi, Taufan Uwan dikesan berada 680 kilometer ke timur Bandar Borongan, Eastern Samar atau 760 kilometer ke timur Catarman, Northern Samar, bergerak ke arah barat pada kelajuan 35 kilometer sejam, dengan kelajuan angin maksimum 140 kilometer sejam berhampiran pusat ribut dan tiupan angin kencang mencecah 170 kilometer sejam.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


