Finland rasmi sertai NATO pada Selasa

Bernama
April 3, 2023 14:14 MYT
Blok itu menantikan "minggu bersejarah" sambil menyatakan bahawa Finland akan menjadi "anggota penuh perikatan mulai esok." - AP
BRUSSELS: Finland akan menjadi anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) pada Selasa dan bendera negara itu akan dikibar di ibu pejabat perikatan itu, menurut Setiausaha Agung NATO Jens Stoltenberg pada Isnin.
Bercakap kepada pemberita menjelang mesyuarat menteri-menteri luar NATO, Stoltenberg berkata blok itu menantikan "minggu bersejarah" sambil menyatakan bahawa Finland akan menjadi "anggota penuh perikatan mulai esok."
Menteri-menteri luar NATO akan bertemu Menteri Luar Ukraine Dmytro Kuleba pada pertemuan semula Suruhanjaya NATO-Ukraine, lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan Stoltenberg.
Selepas konflik, NATO mesti "menyediakan aturan supaya Ukraine dapat menghalang pencerobohan di masa depan dan memastikan sejarah tidak berulang," katanya.
Menteri luar NATO akan memulakan persiapan untuk sidang kemuncak pemimpin pada Julai di Vilnius, Lithuania.
Pada hari kedua, Menteri-menteri luar NATO dijadual bertemu rakan sejawat mereka dari Jepun, Korea Selatan, Australia, dan New Zealand.
--BERNAMA-ANADOLU
#Finland #NATO #Jens Stoltenberg #Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara