ISTANBUL: Global Sumud Flotilla pada Khamis mendakwa aktivis yang ditahan selepas Israel memintas misi bantuan kemanusiaan ke Gaza mengalami keganasan seksual, serangan fizikal dan layanan buruk ketika berada dalam tahanan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Dalam kenyataan, kumpulan itu berkata keterangan yang dikumpulkan daripada peserta yang dibebaskan menunjukkan “pola keganasan fizikal dan seksual yang teruk serta penghinaan sistematik” selepas konvoi itu dipintas di luar pesisir Crete pada 29 April.
Flotila bantuan kemanusiaan itu mendakwa sekurang-kurangnya empat aktivis diserang secara seksual ketika dalam tahanan Israel, dengan dua tahanan dilaporkan mengalami penderaan serius.
Aktivis lain turut melaporkan serangan berulang terhadap bahagian sulit, selain penderaan lisan berunsur seksual dan layanan yang mengaibkan.
Menurut kenyataan itu, tahanan juga didedahkan kepada keadaan sejuk, pakaian panas dirampas serta akses tidak mencukupi kepada makanan, air dan tempat tidur, sehingga menyebabkan beberapa kes hipotermia dan hipertermia.
Kumpulan itu berkata penderaan berkenaan mencerminkan “pola layanan lebih luas yang bertujuan menafikan maruah kemanusiaan mereka yang bersolidariti dengan rakyat Palestin.”
Kenyataan itu turut menyatakan kebimbangan terhadap penahanan berterusan aktivis Thiago Avila dan Saif Abu Keshek, yang masih berada di Israel dan dilaporkan melancarkan mogok lapar.
Misi Spring 2026 Global Sumud Flotilla yang bertujuan memecahkan sekatan Israel ke atas Semenanjung Gaza dan menghantar bantuan kemanusiaan dipintas tentera Israel lewat 29 April di luar pesisir Crete.
Tentera Israel campur tangan di perairan antarabangsa, menyerang bot yang membawa aktivis kira-kira 600 batu nautika dari Gaza dan hanya beberapa batu dari perairan wilayah Greece.
Seramai 177 aktivis ditahan dan dilaporkan mengalami layanan buruk.
Laporan menyebut Avila dan Abu Keshek, yang belum dibebaskan sejak dibawa secara paksa ke Israel, mengalami penderaan fizikal serius dan ancaman bunuh ketika disoal siasat.
Israel mengenakan sekatan ke atas Semenanjung Gaza sejak 2007, menyebabkan 2.4 juta penduduk wilayah itu berada di ambang kebuluran.
-- BERNAMA-ANADOLU