DUNIA

Gabenor wanita pertama Bank Pusat Pakistan meninggal dunia pada usia 71 tahun

Bernama 28/12/2025 | 01:15 MYT
Shamshad Akhtar yang meninggal dunia pada Sabtu pada usia 71 tahun pernah berkhidmat sebagai Gabenor Bank Negara Pakistan (SBP) dari 2006 hingga 2009. - Gambar fail Reuters
NEW DELHI: Pakistan memberikan penghormatan tinggi kepada ahli ekonomi tersohor negara itu dan Gabenor wanita pertama Bank Pusat, Shamshad Akhtar yang meninggal dunia pada Sabtu pada usia 71 tahun.

"Beliau memberi sumbangan luar biasa dalam memperkukuh kerangka kewangan Pakistan," kata Perdana Menteri Shehbaz Sharif dalam satu kenyataan.

Akhtar pernah berkhidmat sebagai Gabenor Bank Negara Pakistan (SBP) dari 2006 hingga 2009.

Beliau turut dilantik sebagai Menteri Kewangan dalam pentadbiran kerajaan sementara sebelum pilihan raya umum 2018 dan 2024, selain pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Rendah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Setiausaha Eksekutif ke-10 Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial untuk Asia dan Pasifik (ESCAP) antara 2014 hingga 2018.

Akhtar juga pernah berkhidmat dengan Bank Dunia dan Bank Pembangunan Asia dalam pelbagai peranan.

Timbalan Setiausaha Agung PBB, Amina Mohammed turut mengenang sumbangan beliau.

"Beliau adalah sahabat, rakan sekerja dan pemimpin luar biasa. Komitmen teguhnya terhadap pembangunan mampan dan kerjasama serantau meninggalkan kesan mendalam terhadap PBB dan masyarakat," kata Amina dalam hantaran di X.

Menteri Kewangan Pakistan, Muhammad Aurangzeb menyifatkan Akhtar membawa "suara yang bermaruah, berprinsip dan berwawasan" dalam sejarah ekonomi negara itu.

"Dr Shamshad Akhtar berkhidmat kepada negara dengan penuh integriti dan dedikasi dalam pelbagai jawatan kanan berkaitan pengurusan ekonomi negara dan sumbangannya akan sentiasa dikenang dengan penuh hormat," katanya.

Ucapan takziah turut hadir daripada diplomat, pegawai kanan kerajaan, bekas anggota Kabinet serta komuniti perniagaan.

"Seorang tokoh besar Pakistan yang berusaha menjadikan Pakistan dan dunia lebih baik. Peranannya sebagai Menteri sementara amat penting dalam merealisasikan perjanjian ekonomi utama bagi menstabilkan Pakistan," kata Pesuruhjaya Tinggi Britain di Islamabad, Jane Marriott dalam hantaran di X.

Ketika meninggal dunia, Akhtar berkhidmat sebagai Pengerusi Pakistan Stock Exchange.

Kematiannya dilaporkan berpunca daripada serangan jantung, menurut media tempatan Pakistan.

Solat jenazah dan pengebumian akan diadakan di Karachi pada Ahad.

Akhtar dilahirkan pada 1954 di Hyderabad, wilayah Sindh.

Beliau merupakan Felo Pasca Doktoral Fulbright Amerika Syarikat di Universiti Harvard; memiliki ijazah doktor falsafah dalam bidang ekonomi dari Paisley College of Technology, Scotland, ijazah sarjana ekonomi pembangunan dari University of Sussex, United Kingdom, serta ijazah sarjana sains (MSc) ekonomi dari Universiti Quaid-e-Azam di Islamabad.

-- BERNAMA




#Pakistan #gabenor wanita pertama #Bank Pusat Pakistan #Shamshad Akhtar