PARIS: Menteri Pendidikan Perancis, Gabriel Attal yang berusia 34 tahun telah dilantik sebagai Perdana Menteri baharu negara itu iaitu pelantikan yang mencipta sejarah oleh Presiden Emmanuel Macron ketika beliau ingin mengembalikan semula populariti kerajaannya yang semakin tercalar.

Pelantikan Attal menjadikan beliau sebagai Perdana Menteri termuda Perancis dan yang pertama secara terbuka mengisytiharkan diri sebagai gay.

Beliau merupakan bintang politik yang semakin menyerlah dalam Parti Renaissance pimpinan Macron dan telah berkhidmat sebagai Menteri Pendidikan dan Belia Negara sejak Julai lalu.

Semasa memegang jawatan Menteri Pendidikan, beliau telah menggubal larangan kontroversi pemakaian abaya di sekolah awam Perancis dan telah berusaha untuk meningkatkan kesedaran tentang buli di sekolah.

"@GabrielAttal, saya tahu saya boleh mengharapkan tenaga serta komitmen anda untuk melaksanakan projek pemulihan dan penjanaan semula yang saya umumkan," kata Macron dalam hantaran melalui X.

Attal merupakan sekutu rapat Macron dan menjadi jurucakap kerajaan ketika pandemik COVID-19, dilantik menggantikan Elisabeth Borne.

Attal bukan saja disenaraikan antara ahli politik paling popular di Perancis berdasarkan tinjauan pendapat, baru-baru ini, malah juga berjaya menampilkan dirinya sebagai seorang menteri yang bijak, selain menonjol dalam rancangan radio serta pada sidang Parlimen.

Akhir tahun lalu, Macron dilaporkan berkata, beliau akan mengumumkan inisiatif politik baharu.

Selepas berhari-hari spekulasi berlegar, Macron pada Isnin menerima peletakan jawatan Elisabeth Borne, 62, sebagai Perdana Menteri selepas tempoh 20 bulan yang penuh huru-hara.

Borne menjadi Perdana Menteri wanita pertama dalam tiga dekad apabila Macron menamakannya ke jawatan itu pada Mei 2022, sejurus selepas pemilihan semulanya.

Parti pimpinan beliau kemudiannya gagal memenangi majoriti mutlak dalam pilihan raya parlimen pada bulan berikutnya, yang akhirnya menghalang keupayaan kerajaannya untuk meluluskan undang-undang baharu.

Kabinet Perancis dijangka mengalami rombakan lebih meluas minggu ini dalam usaha Macron untuk memantapkan pasukannya ketika masih berbaki tiga tahun penggal pentadbiran beliau.

Macron bergelut dengan tekanan yang semakin mencabar di Parlimen sejak kehilangan majoriti mutlak tidak lama selepas dipilih semula pada 2022.

Pemimpin pembangkang bagaimanapun tidak menyandarkan jangkaan besar terhadap pelantikan Perdana Menteri baharu itu, tambahan pula rata-rata keputusan dikatakan dibuat oleh Macron sendiri.

"Elisabeth Borne, Gabriel Attal atau orang lain, saya tidak peduli, ia hanya akan kekal dengan dasar yang sama," kata pemimpin Parti Sosiolis, Olivier Faure, kepada stesen radio France Inter.

Ahli Parlimen, Patrick Vignal daripada Parti Renaissance pimpinan Macron, pula menyifatkan Attal 'ada sedikit seperti Macron pada 2017' - merujuk kepada detik Macron menjadi Presiden termuda dalam sejarah moden Perancis ketika popular dalam kalangan pengundi. - Agensi