STR Fasa 1 2026 Disalurkan Hari Ini – Semak Kelayakan & Jumlah Bantuan Anda!
DUNIA

Gagal raih Hadiah Nobel, tidak perlu fikir soal keamanan, kata Trump kepada PM Norway

Agensi 19/01/2026 | 23:00 MYT
Presiden Donald Trump, memberitahu Perdana Menteri Norway beliau tidak lagi merasa terikat untuk “berfikir semata-mata tentang keamanan” selepas gagal memenangi Hadiah Nobel Keamanan. - Gambar Reuters
OSLO: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, memberitahu Perdana Menteri Norway bahawa beliau tidak lagi merasa terikat untuk “berfikir semata-mata tentang keamanan” selepas gagal memenangi Hadiah Nobel Keamanan, menurut satu kenyataan yang didedahkan pada Isnin (19 Jan).

Dalam mesej itu, Trump turut mengulangi keinginannya untuk Amerika Syarikat mengambil alih Greenland - wilayah autonomi milik Denmark atas alasan kepentingan keselamatan global.

“Melihat kepada keputusan negara anda yang tidak memberikan saya Hadiah Nobel Keamanan kerana berjaya menghentikan lapan peperangan saya tidak lagi rasa bertanggungjawab untuk hanya memikirkan soal keamanan,” tulis Trump kepada Perdana Menteri Norway, Jonas Gahr Store.

Beliau bagaimanapun menambah bahawa keamanan masih menjadi keutamaan, namun kini beliau boleh “memikirkan apa yang baik dan wajar untuk Amerika Syarikat.”

Pejabat Perdana Menteri Norway mengesahkan kesahihan dokumen berkenaan kepada AFP.

Dalam kenyataan berasingan, Store menegaskan, kerajaan Norway tidak mempunyai kuasa untuk menentukan pemenang Hadiah Nobel Keamanan.

“Saya telah menjelaskan dengan jelas, termasuk kepada Presiden Trump, bahawa anugerah itu diputuskan oleh Jawatankuasa Nobel yang bebas,” katanya.

Trump dalam mesej sama turut membangkitkan semula hasrat untuk mengambil alih Greenland, yang sebelum ini mencetuskan kebimbangan global.

“Denmark tidak mampu melindungi wilayah itu daripada Rusia atau China,” katanya.

“Kenapa mereka mempunyai ‘hak pemilikan’? Tiada dokumen bertulis pun. Hanya kerana sebuah kapal berlabuh di sana ratusan tahun lalu, sedangkan kapal kami juga pernah berlabuh,” tambah beliau.

“Dunia tidak akan selamat melainkan Amerika memiliki kawalan menyeluruh dan mutlak terhadap Greenland,” tegasnya.

Trump sebelum ini berkempen secara aktif untuk memenangi Hadiah Nobel Keamanan tahun lalu atas dakwaan beliau menghentikan lapan peperangan.

Namun, anugerah itu akhirnya diberikan kepada pemimpin pembangkang Venezuela, Maria Corina Machado, yang hadir ke Oslo bulan lalu untuk menerima hadiah tersebut selepas melarikan diri dari Venezuela dengan menaiki bot.

Machado mendedikasikan anugerah itu kepada Trump, dan minggu lalu menyerahkan pingat Nobel itu kepadanya. - Agensi




#Donald Trump #Hadiah Nobel Keamanan #Trump merajuk #keamanan