DUNIA

Gajah liar ragut 20 nyawa di Jharkhand, India lancar operasi besar-besaran

Astro Awani 14/01/2026 | 06:30 MYT
Operasi besar-besaran dilakukan dengan bantuan dron dan pasukan pengesan untuk menjejak haiwan yang berpisah dari kumpulannya serta menunjukkan tingkah laku agresif. -Gambar fail/Bernama
NEW DELHI: Pihak berkuasa hidupan liar India sedang menjejaki seekor gajah jantan liar yang didakwa membunuh sekurang-kurangnya 20 orang dan mencederakan lebih daripada 15 dalam siri serangan selama sembilan hari di kawasan hutan West Singhbhum, Jharkhand, sejak awal Januari.


Ringkasan AI
  • Pihak berkuasa hidupan liar India menjejaki gajah jantan liar yang didakwa membunuh 20 orang dan cedera 15 lain dalam serangan sembilan hari di kawasan hutan West Singhbhum, Jharkhand.
  • Operasi besar-besaran dilakukan dengan bantuan dron dan pasukan pengesan untuk menjejak haiwan yang berpisah dari kumpulannya serta menunjukkan tingkah laku agresif.
  • Penduduk di 20 kampung dinasihatkan mengelak kawasan hutan dan berlindung di rumah pada waktu malam, sementara pihak berkuasa cuba menangkap gajah itu untuk dipindahkan ke habitat semula.

Klik di sini untuk FAQ berkaitan artikel ini

Operasi besar-besaran digerakkan dengan bantuan dron, pasukan pengesan dan penembak pelali bagi menjejaki haiwan berkenaan yang dipercayai berpisah daripada kumpulannya serta menunjukkan tingkah laku agresif.

Penduduk di lebih 20 kampung sekitar Kolhan dan Chaibasa dinasihatkan mengelak kawasan hutan dan berlindung di dalam rumah pada waktu malam.

Pegawai perhutanan daerah Chaibasa, Aditya Narayan, berkata pasukan keselamatan dan renjer berusaha menangkap gajah itu secara selamat untuk dipindahkan semula ke habitatnya.

Haiwan tersebut kali terakhir dilihat minggu lalu sebelum menghilang ke kawasan hutan tebal bersempadan dengan Odisha.

Serangan berlaku kebanyakannya pada waktu malam di pinggir kampung ketika penduduk mengawal hasil padi.

Mangsa termasuk kanak-kanak, warga emas dan seorang kakitangan jabatan perhutanan.

Seorang lagi pegawai perhutanan, Kuldeep Meena, menyifatkan corak serangan luar biasa kerana gajah berkenaan dilaporkan menempuh jarak sehingga 15–20 kilometer setiap malam, menjadikan usaha menjejakinya sangat mencabar.

Pakar menjelaskan gajah jantan yang terasing dan memasuki fasa “musth” lazimnya agresif, ditambah habitat yang terfragmentasi akibat pembalakan dan pembangunan.

Data rasmi menunjukkan 629 kematian berkaitan gajah direkodkan di seluruh India bagi tempoh 2023–2024, manakala populasi gajah liar dianggarkan sekitar 22,446 ekor.

Kerajaan negeri mengumumkan bayaran ex-gratia kepada keluarga mangsa dan mempergiat sistem amaran awal serta rondaan bagi mengurangkan risiko serangan susulan.






Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
  • Q: Apakah yang menyebabkan gajah jantan liar di kawasan hutan West Singhbhum, Jharkhand, melakukan siri serangan terhadap penduduk?
    A: Gajah jantan liar tersebut dipercayai agresif kerana berpisah daripada kumpulannya dan memasuki fasa "musth", yang menjadikan tingkah laku agresif.
  • Q: Apa tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa untuk menangani isu serangan gajah tersebut?
    A: Pihak berkuasa menggerakkan operasi besar-besaran dengan bantuan dron, pasukan pengesan, dan penembak pelali bagi menjejaki gajah tersebut serta menasihati penduduk agar mengelak kawasan hutan dan berlindung di dalam rumah pada waktu malam.
  • Q: Berapakah jumlah kematian berkaitan gajah yang direkodkan di seluruh India bagi tempoh 20232024?
    A: Data rasmi menunjukkan sebanyak 629 kematian berkaitan gajah direkodkan di seluruh India bagi tempoh 20232024.



#gajah liar mengamuk #Pihak berkuasa hidupan liar India #gajah jantan liar #West Singhbhum Jharkhand