Skip to main content

Dunia

Gambar baharu Suu Kyi cetus perhatian dunia, anak sahkan kelihatan sihat

Aung San Suu Kyi
Gambar yang disiarkan menunjukkan Suu Kyi bersama pasukan ICRC diketuai wakil organisasi itu, Arnaud de Baecque. - Foto Myanmar Military Information Committee
Advertisement

YANGON: Pemimpin Myanmar yang ditahan, Aung San Suu Kyi, dibenarkan bertemu delegasi Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC), menandakan hubungan pertama yang disahkan dengan pihak luar sejak surat yang dihantar kepada anak lelakinya kira-kira dua setengah tahun lalu.

Menerusi gambar yang dikeluarkan kerajaan tentera Myanmar, Suu Kyi dilihat berada dalam keadaan sihat dan tenang ketika pertemuan berkenaan berlangsung.

Pemenang Hadiah Nobel Keamanan itu ditahan tidak lama selepas tentera menggulingkan kerajaan pimpinannya pada 2021. 

Beliau kemudiannya dijatuhi hukuman penjara 33 tahun atas pelbagai pertuduhan yang dianggap ramai pemerhati sebagai bermotif politik, sebelum hukuman tersebut dikurangkan dan beliau dipindahkan ke tahanan rumah.

Sejak ditahan, pihak tentera berulang kali memberi jaminan bahawa Suu Kyi berada dalam keadaan baik, namun tidak pernah mengemukakan bukti yang meyakinkan mengenai keadaan sebenar beliau.

Anak lelakinya, Kim Aris sejak beberapa bulan kebelakangan ini mengetuai kempen antarabangsa bagi menuntut bukti bahawa ikon demokrasi berusia 81 tahun itu masih hidup dan berada dalam keadaan baik.

Kini, delegasi ICRC diberi akses untuk bertemu Suu Kyi, sekali gus menjadi pertemuan pertama yang disahkan dengan individu di luar lingkungan kerajaan dalam tempoh hampir empat tahun.

Gambar yang disiarkan menunjukkan Suu Kyi bersama pasukan ICRC diketuai wakil organisasi itu, Arnaud de Baecque. 

Dalam gambar tersebut, beliau kelihatan santai dan sihat, walaupun tiada maklumat terperinci didedahkan mengenai keadaan kesihatannya atau perkara yang dibincangkan dalam pertemuan tersebut.

Dalam satu kenyataan ringkas, ICRC memaklumkan, lawatan itu dijalankan mengikut piawaian dan prosedur organisasi berkenaan bagi melawat individu yang ditahan, termasuk memberi peluang kepada mereka untuk berbincang secara tertutup dengan Suu Kyi.

Kim Aris menyambut baik perkembangan itu dan berkata, gambar yang disiarkan kelihatan tulen, selain menunjukkan ibunya berada dalam keadaan kesihatan yang memuaskan.

Beliau berkata, sukar untuk mempercayai maklumat yang dikeluarkan pihak tentera memandangkan pelbagai maklumat palsu dan propaganda disebarkan selama bertahun-tahun, namun kali ini beliau percaya kenyataan yang dikeluarkan boleh diterima.

Kerajaan Myanmar yang masih dipimpin ketua rampasan kuasa, Min Aung Hlaing, dan terus dikuasai tentera walaupun pilihan raya diadakan awal tahun ini, kini berusaha menamatkan pengasingan diplomatik menerusi beberapa lawatan rasmi ke negara jiran.

Antara tuntutan utama masyarakat antarabangsa terhadap kepimpinan tentera Myanmar ialah menghentikan serangan udara ke kawasan yang dikuasai kumpulan penentang, memulakan rundingan untuk menamatkan perang saudara, serta membebaskan Aung San Suu Kyi.

Setakat ini, pihak tentera masih menolak tuntutan berkenaan. 

Namun, pendedahan mengenai pertemuan dengan ICRC pada Selasa memberi gambaran bahawa mereka mungkin bersedia mempertimbangkan sekurang-kurangnya tuntutan berkaitan Suu Kyi. - Agensi

 

 

Must Watch Video

Advertisement