INTERNATIONAL
Gangguan besar perkhidmatan tren laju Sepanyol akibat kes 'kecurian kabel terancang'
Ramai penumpang terkandas dalam perjalanan pulang ke selatan dari Madrid selepas cuti hujung minggu panjang dan sambutan Hari Ibu di Sepanyol. - Reuters
OVIEDO (Sepanyol): Puluhan ribu penumpang mengalami gangguan perjalanan pada petang Ahad dan pagi Isnin selepas kejadian kecurian kabel menyebabkan rangkaian tren laju Sepanyol lumpuh, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik media tempatan.
Kabel dicuri di empat lokasi sepanjang laluan tren yang menghubungkan Madrid dengan Seville, menyebabkan ramai penumpang terkandas ketika dalam perjalanan pulang ke selatan dari Madrid selepas cuti hujung minggu panjang dan sambutan Hari Ibu di Sepanyol.
"Keuntungan ekonomi daripada operasi seperti ini amat kecil berbanding kerosakan yang ditimbulkan. Saya tidak akan menyebutnya sebagai kecurian kerana saya lebih cenderung menyifatkannya sebagai sabotaj," kata Menteri Pengangkutan Oscar Puente kepada penyiar Cadena Ser pada pagi Isnin.
"Empat kecurian kabel bernilai rendah di empat lokasi berbeza. Ia adalah tindakan yang cukup terancang. Pelakunya jelas tahu apa yang dilakukan kerana kawasan berkenaan tidak mempunyai kamera," katanya.
Ketua pengendali tren laju Sepanyol, Renfe, memaklumkan di platform X, selain kecurian kabel, sebuah lagi tren mengalami "gangguan" yang menyebabkan kabel kuasa yang membekalkan elektrik kepada tren, mengalami masalah.
Renfe meminta penumpang yang menuju ke Toledo, Puertollano dan Andalusia agar tidak ke stesen Atocha Madrid sehingga selepas 8 pagi waktu tempatan (0600GMT) kerana kelewatan.
Kemudian, syarikat itu memaklumkan yang perkhidmatan tren yang terjejas akan disambung semula secara berperingkat mulai 9.30 pagi -- lebih 15 jam selepas tren tergendala.
Renfe berkata kira-kira 30 tren membawa 10,700 penumpang terkandas di antara destinasi.
Jesus Navarro, wartawan stesen penyiar Sepanyol RNE yang turut terjejas berkata beliau terpaksa berada dalam tren selama 15 jam.
"Untuk menggerakkan tren, sebuah lokomotif diesel digunakan dan menariknya ke lokasi yang membolehkan tren kembali menerima bekalan elektrik," katanya, menyifatkan situasi itu sebagai "pagi yang amat sukar."
Ribuan lagi penumpang turut berdepan pembatalan atau kelewatan perjalanan yang ketara kerana perkhidmatan masih belum kembali pulih sepenuhnya.
Insiden ini berlaku kurang seminggu selepas Sepanyol mengalami gangguan bekalan elektrik hampir seluruh negara yang turut menjejaskan perkhidmatan tren.
-- BERNAMA