GAZA: Pejabat Media Kerajaan Gaza mendakwa Israel telah melanggar perjanjian gencatan senjata sebanyak 4,379 kali sejak ia berkuat kuasa 315 hari lalu, lapor Al Jazeera.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin, pelanggaran berkenaan mengakibatkan 1,286 rakyat Palestin terbunuh manakala 4,257 lagi cedera.
Pejabat itu turut mendakwa tentera Israel menahan 180 rakyat Palestin sejak gencatan senjata bermula, selain 813 jenazah berjaya dikeluarkan dari bawah runtuhan oleh pasukan penyelamat.
Pihak pertahanan awam Gaza pula menganggarkan lebih 8,000 mangsa masih tertimbus di bawah runtuhan bangunan yang musnah dan belum dapat dikeluarkan berikutan kekurangan peralatan.
Menurut data yang dikeluarkan pihak berkuasa Gaza, hanya 66,607 lori bantuan dibenarkan memasuki wilayah itu berbanding 189,000 lori yang diperuntukkan di bawah perjanjian gencatan senjata.
Selain itu, seramai 11,759 individu dibenarkan melalui pintu lintasan Rafah berbanding sasaran asal 29,800 orang.
Dalam perkembangan berkaitan, Iran memberi amaran bahawa kapal komersial yang melanggar peraturan pelayaran di Selat Hormuz boleh berdepan sekatan, denda, penahanan atau rampasan kapal.
Amaran itu dibuat selepas Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, berkata Washington berhasrat "memutuskan setiap talian hayat ekonomi" yang membantu Iran menjelang pengumuman baharu mengenai sekatan terhadap Tehran.