DUNIA
Gaza hadapi ‘kebuluran besar-besaran’ akibat tindakan manusia - Ketua WHO

Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus memberi amaran bahawa penduduk Palestin di Gaza kini berdepan "kebuluran besar-besaran" yang berpunca daripada sekatan bantuan kemanusiaan ke wilayah itu. - Gambar fail Reuters
GENEVA: Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus memberi amaran bahawa penduduk Palestin di Gaza kini berdepan "kebuluran besar-besaran" yang berpunca daripada sekatan bantuan kemanusiaan ke wilayah itu.
“Ramai ibu bapa memberitahu kami, anak-anak mereka tidur dalam kelaparan dan tangisan,” katanya dalam sidang media pada Rabu. “Tapak pengagihan makanan kini menjadi lokasi keganasan.”
Ditanya sama ada beliau bersetuju dengan kenyataan lebih 100 organisasi bantuan minggu ini bahawa Gaza sedang mengalami 'kebuluran besar-besaran', Tedros memberi jawapan tegas.
“Kebuluran besar-besaran bermaksud sebahagian besar populasi sedang kebuluran. Dan memang itulah yang sedang berlaku di Gaza,” tegasnya.“Saya tidak tahu apa lagi istilah yang boleh digunakan selain daripada ‘kebuluran besar-besaran’. Ia berpunca daripada tindakan manusia – dan itu sangat jelas.”
Beliau berkata, sekatan ke atas Gaza menjadi punca utama krisis ini, walaupun beberapa laluan bantuan dibuka kini, ia masih jauh daripada mencukupi.
“Apa yang sampai hanya sedikit – dan orang ramai sedang kebuluran,” tambahnya. “Saya tidak faham kenapa kita masih mahu berdebat soal istilah.”
Dalam sidang media sama, Tedros turut merujuk laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mendakwa lebih 1,000 rakyat Palestin terbunuh sejak akhir Mei ketika cuba mendapatkan bantuan makanan, termasuk ratusan yang maut di tapak dikendalikan Yayasan Kemanusiaan Gaza yang disokong Israel dan Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, yayasan itu dalam kenyataan kepada CNN menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkan statistik PBB sebagai “palsu dan keterlaluan.”
Pihak berkuasa Israel pula meletakkan kesalahan terhadap Hamas berhubung isu kebuluran di Gaza. - Agensi

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami