[TERKINI] Syed Saddiq Dilepas dan Dibebaskan | Mahkamah Rayuan Ketepikan Sabitan Kes Dana Armada – Klik untuk Laporan Penuh
INTERNATIONAL

Gaza hadapi sekatan bantuan kemanusiaan sejak 2 Mac - UNRWA

Bernama 18/04/2025 | 01:50 MYT
Menurut anggaran PBB, sekitar 420,000 rakyat Palestin sekali lagi dipaksa berpindah sejak serangan udara Israel ke atas Gaza disambung semula. - Gambar fail Reuters
NEW YORK: Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) pada Khamis mendedahkan tiada bantuan kemanusiaan dibenarkan memasuki Semenanjung Gaza sejak 2 Mac lalu, menjadikan tempoh sekatan bantuan paling lama sejak bermulanya pencerobohan Israel, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).
Menerusi beberapa hantaran di akaun rasmi X, UNRWA menyatakan penggantungan bantuan semasa adalah tiga kali lebih lama berbanding sekatan awal yang dikenakan pada permulaan konflik.
Agensi itu memberi amaran kekurangan akses kemanusiaan yang berterusan kini menjejaskan operasi bantuan secara serius.
UNRWA turut mendedahkan, kira-kira 69 peratus kawasan Semenanjung Gaza kini tertakluk kepada arahan pemindahan, berikutan sekurang-kurangnya 20 arahan perpindahan dikeluarkan oleh tentera Israel.
Menurut anggaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, sekitar 420,000 rakyat Palestin sekali lagi dipaksa berpindah sejak serangan udara Israel ke atas Gaza disambung semula.
UNRWA memberi amaran pengeboman berterusan, beserta sekatan bekalan bantuan kemanusiaan menjejaskan keupayaan agensi itu untuk memenuhi keperluan asas penduduk, termasuk bekalan makanan, air bersih, sanitasi, tempat perlindungan dan penjagaan kesihatan.
Awal bulan ini, UNRWA turut melaporkan bahawa seramai 1.9 juta penduduk Palestin -- iaitu kira-kira 85 peratus daripada jumlah populasi Gaza -- dipaksa berpindah akibat pengeboman berterusan dan kemusnahan.
-- BERNAMA
#perang Hamas-Israel #bantuan kemanusiaan #UNRWA #serangan udara Israel