INTERNATIONAL
Gaza ‘medan pembunuhan’ - Ketua PBB

Guterres menggunakan bahasa yang sangat tegas kali ini untuk menarik perhatian dunia dengan menggambarkan Gaza sebagai “medan pembunuhan.” - Gambar Reuters
NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres telah mengeluarkan puluhan kenyataan mengenai situasi di Gaza dalam tempoh 15 hingga 18 bulan lalu.
Setiap kali kenyataan dikeluarkan, nada suaranya jelas membayangkan kekecewaan yang sarat ditanggungnya dengan keadaan di wilayah Palestin itu.
Kali ini, dalam kenyataan yang dikeluarkan, beliau menggunakan bahasa yang sangat tegas untuk menarik perhatian dunia dengan menggambarkan Gaza sebagai “medan pembunuhan.”
Setiausaha Agung pertubuhan antarabangsa itu berkata, orang awam Palestin sedang menanggung beban paling berat akibat situasi yang semakin kritikal di Gaza.“Lebih dari sebulan telah berlalu tanpa setitik pun bantuan memasuki Gaza. Tiada makanan. Tiada bahan api. Tiada ubat-ubatan. Tiada bekalan komersial,” katanya dalam ucapan itu.
“Apabila bantuan terhenti, pintu-pintu kengerian kembali terbuka. Gaza kini menjadi 'medan pembunuhan' - dan orang awam terperangkap dalam lingkaran maut yang tidak berpenghujung.”
Kenyataan Guterres dibuat selepas ketua enam agensi PBB merayu kepada pemimpin dunia supaya segera bertindak memastikan makanan dan bekalan sampai kepada rakyat Palestin di Gaza.
Dalam perkembangan sama, Kementerian Luar Israel menegaskan, terdapat bekalan makanan yang mencukupi di Gaza, dan menuduh Guterres “menyebarkan fitnah terhadap Israel”.
Israel mengenakan sekatan sepenuhnya ke atas Gaza pada 2 Mac, selepas fasa pertama gencatan senjata tamat.
Pasukan pejuang Palestin, Hamas menolak untuk melanjutkan gencatan senjata itu, dengan menuduh Israel mungkir terhadap komitmennya.
Israel kemudiannya menyambung semula pengeboman udara dan serangan darat pada 18 Mac, yang telah meragut nyawa 1,449 rakyat Palestin setakat ini, menurut Kementerian Kesihatan yang dikendalikan Hamas di Gaza.
Tentera Israel mendakwa, mereka tidak menyasarkan orang awam.
Dalam ucapannya kepada wartawan, Guterres berkata, Israel, sebagai kuasa pendudukan, mempunyai tanggungjawab di bawah undang-undang antarabangsa untuk memastikan makanan dan bekalan perubatan sampai kepada penduduk.
“Haluan yang sedang diambil sekarang adalah jalan mati – sama sekali tidak boleh diterima dari sudut undang-undang antarabangsa dan juga pandangan sejarah,” katanya.
Kenyataan Guterres turut menyusuli kenyataan bersama enam agensi PBB pada hari Isnin yang menyeru pemimpin dunia bertindak segera agar makanan dan bantuan sampai kepada penduduk Gaza.
“Penduduk Gaza sekali lagi terperangkap, dibom dan dibiarkan kelaparan,” kata kenyataan itu.
“Gencatan senjata yang terbaru membolehkan kami mencapai dalam masa 60 hari apa yang gagal dicapai dalam 470 hari peperangan akibat pengeboman, sekatan dan rompakan: bekalan penting untuk menyelamatkan nyawa sampai ke hampir setiap kawasan di Gaza.”
“Walaupun ini memberikan sedikit kelegaan sementara, dakwaan bahawa terdapat makanan yang mencukupi untuk semua rakyat Palestin di Gaza adalah jauh daripada realiti di lapangan - barangan keperluan kini semakin kehabisan.” - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami