DUNIA

Gaza perlu bantuan kemanusiaan diperluas, bukan sekatan tambahan - UNRWA

Bernama 12/01/2026 | 15:50 MYT
Fowler berkata Semenanjung Gaza kini memerlukan peluasan bantuan kemanusiaan dan bukannya pengenaan sekatan tambahan. - Gambar fail/REUTERS
NEW YORK: Pengarah Komunikasi Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA), Jonathan Fowler pada Ahad memberi amaran mengenai risiko susulan sekatan baharu yang dikenakan oleh Israel menerusi pendaftaran organisasi antarabangsa yang beroperasi di Semenanjung Gaza.

Memetik laporan Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA), Fowler berkata Semenanjung Gaza kini memerlukan peluasan bantuan kemanusiaan dan bukannya pengenaan sekatan tambahan.

Beliau menegaskan bahawa keadaan di Gaza kekal dalam malapetaka walaupun perjanjian gencatan senjata telah dicapai, memandangkan rakyat Palestin terus terkorban, bantuan masih tidak mencukupi dan penderitaan semakin memuncak.

Fowler berkata keadaan kemanusiaan di wilayah itu semakin buruk, terutamanya apabila penduduk berdepan ribut musim sejuk dan penyebaran penyakit berkaitan pernafasan akibat cuaca dingin.

Beliau menekankan bahawa kanak-kanak adalah golongan yang paling terkesan di Gaza, sambil menyatakan wilayah itu mencatatkan kadar kehilangan anggota badan tertinggi dalam kalangan kanak-kanak di seluruh dunia.

Fowler berkata UNRWA terus menyediakan sokongan pendidikan dan psikososial sejak Oktober 2023, namun bantuan sedemikian masih belum mencukupi untuk menangani kesan kerosakan jangka panjang.

Mengenai sekatan pendaftaran organisasi, Fowler berkata ia mengeruhkan lagi operasi kemanusiaan dan menegaskan bahawa undang-undang antarabangsa mewajibkan Israel untuk mempermudah operasi berkenaan. Beliau turut menekankan bahawa Gaza bukanlah tanah Israel, sebaliknya sebahagian daripada Wilayah Palestin yang diduduki.

Beliau merumuskan bahawa Gaza amat memerlukan peningkatan bantuan kemanusiaan pada peringkat ini, seperti yang diharapkan sejak bermulanya gencatan senjata.

-- BERNAMA



#Gaza #UNRWA #bantuan kemanusiaan #sekatan