DUNIA
Gaza: Pope Leo hubungi Abbas, bincang isu perlindungan orang awam dan bantuan kemanusiaan

Paus Leo XIV mengadakan perbualan telefon pada Isnin dengan Presiden Palestin Mahmoud Abbas bagi membincangkan konflik yang sedang berlaku di Gaza serta peningkatan keganasan di Tebing Barat. - Gambar fail/REUTERS
GENEVA: Pope Leo XIV mengadakan perbualan telefon pada Isnin dengan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas bagi membincangkan konflik yang sedang berlaku di Gaza serta peningkatan keganasan di Tebing Barat, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik Pejabat Akhbar Holy See.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Vatican semasa perbualan itu, Pope Leo sekali lagi menegaskan gesaannya agar orang awam dilindungi dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa dipatuhi sepenuhnya.
"Pope mengulangi rayuannya agar undang-undang kemanusiaan antarabangsa dihormati sepenuhnya, dengan penekanan khusus kepada kewajipan melindungi orang awam dan tempat suci, larangan penggunaan kekerasan secara sewenang-wenangnya serta pemindahan paksa penduduk," kata kenyataan itu.
Di tengah apa yang digambarkan oleh Vatican sebagai "situasi kemanusiaan yang tragik," Pope Leo menekankan keperluan mendesak untuk menyalurkan bantuan kepada orang awam yang terjejas."Penekanan diberikan kepada keperluan segera untuk memberi bantuan kepada golongan yang paling terdedah kepada kesan konflik dan memastikan kemasukan bantuan kemanusiaan yang mencukupi," menurut kenyataan itu.
Kedua-dua pemimpin turut mengenang pencapaian diplomatik penting antara Holy See dan Negara Palestin.
Pope Leo "mengingatkan ulang tahun ke-10 Perjanjian Komprehensif antara Holy See dan Negara Palestin yang ditandatangani pada 26 Jun 2015 dan berkuat kuasa pada 2 Januari 2016," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami