INTERNATIONAL
Gaza seperti ‘neraka di dunia’ - Presiden Palang Merah

Penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal melarikan diri dari timur ke barat Bandar Gaza selepas tentera Israel mengeluarkan arahan pemindahan pada Jumaat. - Gambar AP
GENEVA: Presiden Palang Merah menggambarkan situasi kemanusiaan di Gaza pada Jumaat sebagai “neraka di dunia” dan memberi amaran bahawa hospital lapangan mereka akan kehabisan bekalan dalam tempoh dua minggu.
“Kami kini berada dalam situasi yang saya terpaksa gambarkan sebagai ‘neraka di bumi’... ramai orang tidak mempunyai akses kepada air, elektrik, makanan di banyak kawasan,” kata Mirjana Spoljaric di ibu pejabat Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) di Geneva.
Tiada bekalan kemanusiaan baharu dibenarkan masuk ke wilayah Palestin itu sejak Israel menyekat kemasukan trak bantuan pada 2 Mac, apabila rundingan mengenai fasa seterusnya gencatan senjata yang kini telah terbatal menemui jalan buntu. Israel menyambung semula serangan tenteranya pada 18 Mac.
Kementerian Luar Israel berkata, sebanyak 25,000 trak bantuan telah memasuki Gaza sepanjang 42 hari gencatan senjata dan mendakwa Hamas telah menggunakan bantuan itu untuk membina semula mesin perang mereka - satu dakwaan yang telah dinafikan oleh Hamas.Spoljaric menegaskan, bekalan semakin kritikal.
“Selama enam minggu, tiada apa-apa yang masuk, jadi dalam beberapa minggu lagi, kami akan kehabisan bekalan yang diperlukan untuk memastikan hospital terus beroperasi,” katanya.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut melaporkan bekalan antibiotik dan beg darah semakin berkurangan dengan cepat.
Sebanyak 22 daripada 36 hospital di Gaza kini hanya berfungsi pada tahap minimum, menurut Dr. Rik Peeperkorn melalui sidang video dari Baitulmaqdis kepada wartawan di Geneva.
Presiden Palang Merah turut menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan operasi kemanusiaan:
“Ia amat berbahaya untuk orang awam… ia juga sangat berbahaya untuk kami menjalankan operasi,” kata Spoljaric.
Pada bulan Mac, mayat 15 pekerja kecemasan dan bantuan termasuk lapan anggota Bulatan Merah Palestin, ditemui dikebumikan di dalam kubur besar di selatan Gaza.
PBB dan Bulatan Merah Palestin menuduh tentera Israel bertanggungjawab atas pembunuhan itu.
Tentera Israel pada Isnin lalu berkata, siasatan awal mendapati insiden itu berlaku “kerana wujud ancaman”, selepas mereka mendakwa telah mengenal pasti enam anggota Hamas di kawasan berkenaan.
Spoljaric menyeru agar gencatan senjata dilaksanakan segera bagi membebaskan baki tebusan yang masih ditahan oleh Hamas, serta menangani krisis kemanusiaan yang teruk di Gaza.
Kempen ketenteraan Israel di Gaza bermula pada Oktober 2023.
Sejak itu, lebih 50,000 rakyat Palestin telah terbunuh dan sebahagian besar wilayah tersebut telah musnah menjadi runtuhan. - Agensi

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami